Home Berita PAS Terengganu

Sikap suka bersaing jadikan Nusshi pelajar cemerlang

594
SHARE

Oleh: Rohayati Ripin

BESUT, 15 Julai – Sikap suka berdaya saing dalam diri Nusshi memacunya dalam menjadi pelajar cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 di Sekolah Menengah Agama Ittifakiah, Jerteh.

Dengan pencapaian keputusan peperiksaan 9A dalam SPM, Ahmad Nushhi Abrar Syarifuddin berkata, persaingan sihat boleh memotivasikan individu untuk melakukan yang terbaik antara satu sama lain.

“Saya memang tidak boleh berdiam tengok kawan saya lagi pandai, bagi saya ia suatu cabaran bagi diri sendiri untuk lebih cemerlang daripada orang lain di sekali.

“Perasaan pada mulanya terkejut sebab tak sangka dapat straight A pada SPM kali ini sebab masa peperiksaan rasa macam susah sikit kertas, namun begitu saya amat bersyukur,” katanya.

Dia yang berasal dari Kampung Gong Guchil berkata demikian ketika ditemubual selepas menerima sumbangan yang dijanjikan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali semasa Motivasi Online, baru-baru ini.

Turut hadir ialah Penolong Setiausaha Dewan Undangan Negeri Terengganu, Aizat Safwan, Pengetua Sekolah Menengah Agama Nurul Ittifakiah, Hilmi Hassan, Pegawai Penyelaras DUN Jerteh, Wan Azhar Wan Ahmad dan Pengerusi Mawaddah Terengganu, To’ Puan Hajah Zarani Othman.

Sementara itu, Nusshi memberi kata semangat agar rakan sahabat perjuangan yang akan menghadapi peperiksaan nanti agar membuat persiapan sebaiknya dalam perjalanan ke menara gading.

“Fokus dalam kelas dan jangan jadi malu untuk bertanya jika tak faham. Biar malu sebab benda itu akan tolong mudahkan kita belajar,” katanya lagi.

Anak sulung daripada tujuh orang adik beradik itu turut meraih tawaran lanjutan pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) Batu Rakit dan bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke Jordan dalam bidang perguruan.

Menurutnya lagi, ayahnya, Syarifuddin Daud dan ibunya Amal Husain juga merupakan guru dan tenaga pengajar yang membantunya dalam persiapan peperiksaan awam itu.

Sementara itu, Nusshi turut mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Yahaya kerana sudi melawat dan bagi hadiah yang amat bernilai.

“Jutaan terima kasih buat semua dan saya berharap agar saya terus maju jaya dalam pelajaran, Insyallah semoga diluaskan rezeki dipanjangkan umur Dato,” tambahnya.