Home Berita PAS Pahang

Sikap penduduk perlu berubah atasi banjir kilat – ADN Beserah

3
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

KUANTAN, 8 Dis. — Penduduk diminta menjaga kebersihan kawasan masing-masing bagi mengelakkan longkang tersumbat dan banjir kilat, tegas Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Dato’ Andansura Rabu melalui hantaran di laman sosialnya semalam.

Menurut beliau, usaha pembersihan saliran yang dijalankan pada Sabtu tidak akan memberi kesan berpanjangan sekiranya sampah terus dibuang merata-rata.

“Kerja pembersihan dibuat untuk melancarkan aliran air, tetapi ia tidak kekal jika sikap membuang sampah tidak berubah. Kerjasama penduduk penting bagi memastikan sampah tidak dibuang di tepi jalan atau ke dalam longkang kerana itu punca utama halangan air,” katanya.

Mengulas tindakan awal, Andansura berkata pembersihan saliran utama menggunakan jentolak telah dijalankan, manakala Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membersihkan laluan yang tidak dapat dimasuki jentolak.

“Saliran dipenuhi botol, kayu dan plastik, dan ini jelas menjejaskan kelancaran aliran air,” katanya.

Beliau turut menyentuh aduan penduduk sebelum kerja pembersihan dilakukan apabila hampir 40 rumah di Taman Beserah Jaya, Bukit Gelugor dan Batu Hitam sering dinaiki air setiap kali hujan lebat.

“Penduduk beritahu saya mereka terpaksa membina penghadang setinggi satu kaki di pintu rumah kerana air masuk terlalu cepat. Paras air yang semakin meningkat juga menyebabkan beberapa rumah tetap dimasuki air melalui dapur dan bilik air.

“Keadaan ini menunjukkan masalah banjir kilat semakin serius dan perlu ditangani segera,” jelasnya.

Dalam tinjauan ke Bukit Gelugor, Alor Ladang dan Taman Beserah, Andansura mendapati dua kawasan saliran dikenal pasti memerlukan perhatian segera.

“Pertambahan pembangunan menyebabkan sistem saliran lama tidak lagi mampu menampung aliran air bagi jangka masa panjang, Saya akan berhubung dengan agensi berkaitan bagi meneliti keperluan menaik taraf saliran.” ujarnya.

“Beberapa kawasan seperti Pelindung sudah menunjukkan hasil baik selepas dinaik taraf, dan usaha sama diteruskan di Balok Maju serta Balok Sejahtera,” katanya.