Home Berita PAS Terengganu

Sihir, pukau masih wujud dalam masyarakat

108
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kes sihir dan pukau masih wujud dalam masyarakat menurut laporan yang diterima di Bahagian Unit Undang-Undang Keluarga, JHEAT di sini.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Kanan Bahagian Undang-Undang Keluarga JHEAT, Moktar Salleh berkata keadaan iti adalah realiti yang berlaku di dalam masyarakat.

Katanya, sihir merupakan perbuatan meminta pertolongan jin dan syaitan bagi mendapatkan sesuatu dengan jalan yang mudah.

“Lazimnya ia bertujuan untuk mendapatkan wang dan juga memudaratkan orang lain akibat hasad dan dengki daripada pelaku.

“Di JHEAT turut menerima aduan berhubung dengan sihir, pukau dan sebagainya yang merosakkan sesuatu hubungan dalam rumah tangga,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman bertempat di Tingkat 1, Bahagian Undang-Undang Keluarga, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di sini baru-baru ini.

Tambah Moktar, beberapa hari lepas juga turut dilaporkan seorang perempuan yang telah ditipu oleh beberapa orang lelaki yang dipercayai mempunyai unsur sihir dan pukau sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM70,000.

Justeru, menyebabkan berlaku konflik dalam rumah tangga mereka sehingga berlaku tuntutan cerai.

“Oleh sebab itu, pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri dan JHEAT dalam membendung masalah ini daripada terus berlaku.

“Antaranya dengan melaksanakan enakmen sihir dan bomoh bagi mendidik rakyat agar tidak terlibat dengan unsur-unsur yang bercanggah dengan syarak dan juga menggunakan kaedah yang betul selari dengan syariah Islam dalam mendapatkan rawatan,” katanya.

Sementara itu, tambah beliau, JHEAT juga akan mengeluarkan senarai rasmi Pengamal Rasmi Pengubatan Islam yang telah diiktiraf serta mendapat lesen daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah Unit Perubatan Tradisional & Komplimentari.

“Pengamal Rasmi pengubatan Islam itu akan melalui pelbagai tapisan oleh KKM dengan Kerjasama JHEAT sebelum mendapat kelulusan bagi merawat pesakit,” ujarnya.