Home Berita PAS Terengganu

Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu Kecam Genosid di Palestin

4
SHARE

KUALA TERENGGANU – Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu (TIS) 2024 yang berakhir hari ini mengecam pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan Israel ke atas penduduk Gaza di Palestin.

Itu antara lima resolusi yang dipersetujui, sepanjang sehari persidangan berlangsung, disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif TSIS, Prof. Madya Dr. Mohd Hanif Yaacob petang tadi.

Dr. Mohd Hanif berkata, persidangan juga menghargai Sidang Kemuncak dan Forum Islam serta antarabangsa yang telah menyuarakan kebimbangan serta mengusahakan inisiatif strategik untuk menangani genosid di Gaza, konflik  dunia dan Islamofobia.

“Kami juga masyarakat sivil dari Malaysia, Rusia, Oman, Turkiye, Filipina, Indonesia dan Palestin mengiktiraf usaha multilateral seperti Sidang Kemuncak PBB, CoP dan ESG.

“TIS turut mengiktiraf kepentingan platform serantau dan multilateral yang sedang berkembang seperti ASEAN dan BRICS.

“Di samping itu, sidang kemuncak ini mngiktiraf dunia multipolar yang pesat dengan inovasi teknologi dan usaha kerjasama,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata TIS bercadang untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan agar usaha itu dapat dicapai.

Katanya, kerjasama itu termasuk dengan menubuhkan Majlis Kepimpinan untuk Kesatuan dan Solidariti Ummah bagi memupuk kerjasama, persefahaman, dan visi bersama antara pemimpin pelbagai sektor.

“Ini penting untuk melatih pemimpin dalam penyelesaian konflik, rundingan dan pengurusan projek berdasarkan nilai Islam dan etika kepimpinan,” jelasnya.

Ujar beliau lagi, konflik dalaman juga perlu diurus secara berkesan dengan meningkatkan toleransi dan kerjasama antara mazhab dalam menangani cabaran bersama.

“TIS mencadangkan agar dialog dan kerjasama antara pemimpin Sunni dan Syiah diperluaskan supaya umat Islam dapat bersatu dan menentang ketidakadilan,” katanya.

Tambah beliau, seluruh peserta sidang kemuncak bersetuju agar tindakan boikot terus dilakukan termasuk terhadap Blackrock dan entiti yang terlibat membantai rakyat Palestin.

“Kita menggalakkan negara Islam yang kuat dari segi ekonomi untuk melakukan pelaburan di negara yang kurang membangun sebagai langkah penting ke arah kesatuan ummah,” ujarnya.