Home Berita PAS Terengganu

Sidang DUN Terengganu : ADUN diminta manfaatkan peluang sepenuhnya

46
SHARE

KUALA TERENGGANU, 13 September – Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu diseru memanfaatkan peluang sebaiknya demi kebajikan rakyat semasa  bersidang dalam Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14 yang diadakan hari ini sehingga 15 September.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, mereka harus memberi tumpuan dalam berbakti kepada masyarakat dan memainkan peranan dalam menyampaikan maklumat kepada pihak kerajaan.

“Usah kita pertikaikan perkara-perkara picisan yang menyebabkan perbalahan sesama sendiri dalam era pandemik seperti ini.

“Setiap wakil rakyat perlu bersatu, berganding bahu demi kemaslahatan rakyat,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam pembukaan sidang DUN tersebut yang dibuka dengan rasminya oleh titah perutusan Sultan Terengganu, KDYMM Sultan Mizan Zainal Abidin dibacakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menurutnya, setiap wakil rakyat mestilah mengambil peluang yang ada dengan sebaik-baiknya dalam menguruskan kepentingan politik dan kehidupan bermasyarakat.

”Kita boleh berbeza pendapat dalam perkara-perkara cabang (furu’) tetapi atas nama kita sebagai umat Islam tidak ada apa-apa alasan lagi untuk kita tidak boleh bersatu.

“Selain itu, wakil rakyat perlu mengekalkan sifat bermuafakat dalam perkara dasar (usul) demi kepentingan masa depan agama kita, bangsa kita dan ‘survival’ generasi yang akan datang,” ujarnya.

Sebelum itu, beliau turut memohon maaf kepada semua ADUN sekiranya peraturan dan SOP yang ditetapkan bagi menghadiri sidang pada kali ini agak ketat yang mungkin akan menyebabkan tidak selesa.

“Keputusan yang dibuat umpamanya mewajibkan setiap Ahli Yang Berhormat (AYB) menjalani ‘swab test’ sebelum persidangan dan setiap hari perlu membuat ‘saliva test’ secara kendiri.

“Serta mereka yang bergejala tidak dibenarkan masuk adalah untuk memastikan keselamatan kita bersama, insya-Allah,” tambah Yahaya.