Home Rencana PAS Wilayah

SIASATAN YANG LEBIH TELUS TERHADAP KEMATIAN ALLAHYARHAM ADIK ZARA QAIRINA DAN SERU HENTIKAN BUDAYA BULI DI SEKOLAH

5
SHARE

Dewan Pemuda PAS Kawasan Wangsa Maju menzahirkan rasa dukacita yang mendalam atas pemergian tragis Allahyarham Adik Zara Qairina. Kami mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga beliau dan berdoa agar mereka diberi kekuatan serta kesabaran menghadapi ujian berat ini.

Sehubungan itu, kami menuntut agar siasatan dijalankan dengan lebih telus, menyeluruh dan adil bagi memastikan segala persoalan yang timbul mendapat jawapan yang jelas, sekali gus menjamin keadilan buat Allahyarham dan keluarganya.

Dalam masa yang sama, Dewan Pemuda PAS Kawasan Wangsa Maju menggesa pihak berkuasa, Kementerian Pendidikan Malaysia serta seluruh warga sekolah untuk segera menghentikan budaya buli yang semakin membimbangkan. Budaya ini bukan sahaja merosakkan masa depan generasi muda, malah boleh membawa kepada tragedi yang amat menyayat hati seperti yang berlaku.

Kami percaya, usaha pencegahan dan pendidikan berterusan mengenai kesedaran anti-buli mesti diperkasakan, di samping memastikan tindakan tegas diambil terhadap pelaku tanpa kompromi.

Dewan Pemuda PAS Kawasan Wangsa Maju akan terus mengikuti rapat isu ini dan bersedia untuk bersama masyarakat dalam mencari jalan penyelesaian demi memastikan sekolah menjadi tempat yang selamat, mendidik, dan membina masa depan anak-anak bangsa.

Sekian.

USTAZ BEYHAQI RAMLI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Kawasan Wangsa Maju