Home Berita PAS Terengganu

Siasat Segera Nga Kor Ming

80
SHARE

Oleh : Pyang Mamat

KEMAMAN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu melakukan siasatan segera diatas beberapa siri laporan polis yang telah dibuat terhadap Menteri di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) termasuk oleh Parti Islam SeMalaysia (PAS) Kawasan Kemaman.

Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Kemaman, Haji Hanafiah Mat menyatakan bahawa tindakan dan keceluparan Nga Kor Ming itu bercanggah dengan ajaran Islam dan boleh mengelirukan umat islam.

“Perbuatan merayakan ‘Christmas Carolling’ yang dihadiri oleh pegawai dan kakitangan yang beragama Islam di kementerian tersebut adalah bertentangan dengan apa yang telah dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (Irsyad Hukum Siri Ke 818, 24 Disember 2023).

“Oleh yang demikian, kami dengan rendah diri tapi tegas memohon agar satu siasatan yang terperinci terhadap menteri ini dan mana mana pihak yang terlibat dibawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan atau mana mana peruntukan undang undang yang lain serta diambil tindakan yang sewajarnya,” ucapnya.

Sambutan perayaan Hari Natal di premis KPKT kecoh setelah ianya tular di media sosial baru baru ini dan telah mendatangkan keresahan kepada umat islam di negara ini.

Setelah dikritik oleh pelbagai pihak termasuk PAS, Nga Kor Ming akhirnya membuat tuduhan bahawa PAS penyebar ajaran sesat dan perosak keharmonian masyarakat.

“Setelah tuduhan sesat sebegitu yang dilemparkan kepada PAS maka kami mohon satu lagi kertas siasatan dibuka dibawah Seksyen 3 & 4 Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi & Multimedia 1998 atau mana mana peruntukan undang-undang yang berkaitan perlu dijalankan keatasnya,” katanya lagi.

Laporan polis dibuat pada 2 Januari 2025 di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman pada jam 6 petang dan turut hadir adalah Yang Dipertua dan Ahli jawatankuasa PAS Kawasan Kemaman.