Home Minda Presiden

Siapa Yang Bodoh, Ikut Tuhan Atau Manusia?

1846
SHARE

Surat Terbuka Kepada Sesiapa Yang Berkenaan

SIAPA YANG BODOH, IKUT TUHAN ATAU MANUSIA?

Firman Allah:

وَمَن يَرْغَبُ عَن مِّلَّةِ إِبْرَاهِيمَ إِلَّا مَن سَفِهَ نَفْسَهُ وَلَقَدِ اصْطَفَيْنَاهُ فِي الدُّنْيَا وَإِنَّهُ فِي الْآخِرَةِ لَمِنَ الصَّالِحِينَ (130) إِذْ قَالَ لَهُ رَبُّهُ أَسْلِمْ قَالَ أَسْلَمْتُ لِرَبِّ الْعَالَمِينَ (131) وَوَصَّىٰ بِهَا إِبْرَاهِيمُ بَنِيهِ وَيَعْقُوبُ يَا بَنِيَّ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَىٰ لَكُمُ الدِّينَ فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (132)] سورة البقرة: 130-132[

“Tiada orang yang membenci agama Nabi Ibrahim selain dari orang yang membodohkan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi Nabi) di dunia ini; dan sesungguhnya dia pada Hari Akhirat kelak tetaplah dari orang-orang yang soleh (tertinggi martabatnya). (130); (Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: “Serahkanlah diri (kepadaKu wahai Ibrahim)!”. Nabi Ibrahim menjawab: “Aku serahkan diri (tunduk taat) kepada Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”. (131); Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: “Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam”. (132) (Surah Al-Baqarah: 130-132)

Inilah kenyataan Allah Yang Maha Mengetahui dalam Kitab Suci, mukjizat yang tetap dipelihara mengikut keyakinan setiap orang Muslim yang mendirikan solat dengan khusyuk menghadap Allah, serta memohon pada setiap rakaat supaya diberikan hidayah, kerana di alam dunia sebelum kita meninggal dunia terlalu banyak bala tentera iblis dan syaitan yang menyesatkan manusia.

Sesiapa bencikan Islam yang dibawa oleh Nabi Ibrahim A.S. dan semua para Rasul, maka dialah orang yang bodoh, walaupun dia seorang raja yang menakluk dunia dan paling bertamadun pada zamannya Namrud, Raja pemerintah Babylon dan Raja Mesir. Apabila menentang Nabi Ibrahim A.S. adalah terlalu kerdil, apatah lagi kalau sekadar memerintah negeri sekangkang kera yang berpolitik berkonsepkan kera. Kera yang meletakkan kepentingan perut lebih daripada segala-galanya, sehingga melompat ke mana pokok yang paling lebat buahnya.

Bukanlah bermakna tidak perlu peduli kepada makan dan duit yang menjadi perjuangan peneroka Felda, nelayan, pekerja kilang dan lain-lain, bahkan Islam meletakkan keperluan menyambung hidup di dunia juga adalah rukun bagi kehidupan manusia, tetapi hendaklah mengikut tertib yang menepati kemuliaan manusia yang berbeza dengan makhluk yang lain.

Keperluan yang dinamakan dharuriyat (keperluan rukun kehidupan manusia) disenaraikan seperti berikutnya:
(1) Agama adalah pertama;
(2) Nyawa;
(3) Akal;
(4) Keturunan;
(5) Maruah dan
(6) Harta adalah paling akhir.

Demi menjaga nyawa, maka harta dan makanan yang diharamkan menjadi halal apabila tiada makanan yang lain, tetapi memelihara agama tetap diletakkan pada perkara yang pertama, sehingga demi mempertahankan agama itu wajib dikorbankan harta dan nyawa, serta mengerahkan segala nikmat yang lain.

Allah menegaskan bahawa sebenarnya bodoh bagi orang yang memperbodohkan orang-orang beriman yang menempah kesusahan kerana mempertahankan agamanya:

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ آمِنُوا كَمَا آمَنَ النَّاسُ قَالُوا أَنُؤْمِنُ كَمَا آمَنَ السُّفَهَاءُ أَلَا إِنَّهُمْ هُمُ السُّفَهَاءُ وَلَٰكِن لَّا يَعْلَمُونَ (13) وَإِذَا لَقُوا الَّذِينَ آمَنُوا قَالُوا آمَنَّا وَإِذَا خَلَوْا إِلَىٰ شَيَاطِينِهِمْ قَالُوا إِنَّا مَعَكُمْ إِنَّمَا نَحْنُ مُسْتَهْزِئُونَ (14) اللَّهُ يَسْتَهْزِئُ بِهِمْ وَيَمُدُّهُمْ فِي طُغْيَانِهِمْ يَعْمَهُونَ (15) أُولَٰئِكَ الَّذِينَ اشْتَرَوُا الضَّلَالَةَ بِالْهُدَىٰ فَمَا رَبِحَت تِّجَارَتُهُمْ وَمَا كَانُوا مُهْتَدِينَ (16)] سورة البقرة: 13-16[

“Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman”. Mereka menjawab: “Patutkah kami ini beriman sebagaimana berimannya orang-orang bodoh itu?”. Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (13); Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: “Kami telah beriman”, dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula: “Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman)”. (14); Allah (membalas) memperolok-olok, dan membiarkan mereka meraba-raba dalam kesesatan mereka (yang melampaui batas itu). (15); Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk; maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk hidayah”. (16) (Surah Al-Baqarah: 13-16)

Allah menganggap bodoh juga terhadap kalangan yang memperkecilkan perintah Allah supaya menukar kiblat:

سَيَقُولُ السُّفَهَاءُ مِنَ النَّاسِ مَا وَلَّاهُمْ عَن قِبْلَتِهِمُ الَّتِي كَانُوا عَلَيْهَا قُل لِّلَّهِ الْمَشْرِقُ وَالْمَغْرِبُ يَهْدِي مَن يَشَاءُ إِلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ (142)] سورة البقرة: 142[

“Orang-orang bodoh (yang kurang akal pertimbangannya dari kalangan ahli Kitab, musyrikin dan munafik) akan berkata: “Apa sebabnya yang menjadikan orang-orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka menghadapnya selama ini?”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Timur dan Barat adalah kepunyaan Allah – (maka ke arah mana sahaja kita diarahkan Allah menghadapnya, wajiblah kita mematuhiNya); Allah yang memberikan petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus”. (Surah Al-Baqarah: 142)

Mengapa agama hendaklah didahulukan? Sebabnya riwayat perjalanan kehidupan manusia itu bukan sahaja di alam dunia ini sahaja, tetapi ada lagi perjalanan yang panjang sehingga selepas kematian.

Firman Allah:

كَيْفَ تَكْفُرُونَ بِاللَّهِ وَكُنتُمْ أَمْوَاتًا فَأَحْيَاكُمْ ثُمَّ يُمِيتُكُمْ ثُمَّ يُحْيِيكُمْ ثُمَّ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ (28)] سورة البقرة: 28[

“Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah, padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Dia menghidupkan kamu; setelah itu Dia mematikan kamu, kemudian Dia menghidupkan kamu semula (pada Hari Akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)”. (Surah Al-Baqarah: 28)

Alam dunia adalah jambatan menuju perjalanan selepas alam kematian (barzakh) dan selepasnya alam kiamat (hidup semula). Bekalan di atas jambatan alam dunia adalah perlu dengan menegakkan agama yang menjadi bekalan di alam barzakh dan akhirat.

Adapun bekalan agama itu sendiri perlu berkekalan di atas dunia yang menjadi jambatan ini. Namun bekalan ketika berada di alam dunia bagi hidup beragama perlu juga dicari harta untuk kemudahan menguatkan bekalan akhirat yang kekal abadi. Inilah perbezaan di antara manusia dengan binatang.

Kesimpulannya, manusia makan untuk hidup di atas jambatan dunia supaya menguatkan bekalan agama bagi persediaan di alam barzakh dan akhirat. Adapun binatang itu hidupnya untuk makan dan dimakan, maka isi perut menjadi keutamaan, dan harga dirinya mengikut kilogram, warna kulit dan bulu. Namun, agama adalah bukan keutamaan bagi binatang secara fitrahnya. Adapun harga diri manusia itu adalah taqwa dan akhlaknya.

Nabi Ibrahim A.S. dipilih menjadi contoh kerana sejarah Baginda A.S. disanjung oleh semua penganut agama, sama ada Islam, Yahudi, Kristian, Hindu dan lain-lain. Sekiranya dirujuk kepada kitab semua agama itu secara jujur, nescaya bertemu dengan kebenaran. Maka Allah memerintahkan Nabi Ibrahim A.S. membawa puteranya Nabi Ismail A.S. diletak di bumi Makkah yang tiada air, tanaman dan kehidupan, tidak mungkin dibuka ladang Felda di sana. Namun, konsep Islam mengatur keselamatan dan ekonomi dengan firman Allah:

لِإِيلَافِ قُرَيْشٍ (1) إِيلَافِهِمْ رِحْلَةَ الشِّتَاءِ وَالصَّيْفِ (2) فَلْيَعْبُدُوا رَبَّ هَٰذَا الْبَيْتِ (3) الَّذِي أَطْعَمَهُم مِّن جُوعٍ وَآمَنَهُم مِّنْ خَوْفٍ (4)] سورة قريش: 1-4[

“Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Makkah). (1); (laitu) kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka (menjalankan perniagaan) pada musim sejuk (ke negeri Yaman), dan pada musim panas (ke negeri Syam). (2); Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang Menguasai Rumah (Kaabah) ini. (3); Tuhan yang memberi mereka penghidupan, menyelamatkan mereka dari kelaparan, dan mengamankan mereka dari ketakutan. (4) (Surah Quraisy: 1-4)

Maka belajar tulisan Jawi bagi penganut Islam lebih mudah bagi mempelajari Al-Quran supaya jangan buta Al-Quran yang menjadikannya lebih sesat daripada buta huruf, walaupun bertutur seribu bahasa.

Dr. Zakir Naik mendedahkan hakikat melalui kajian beliau yang mendalam, tanpa memaksa sesiapa masuk Islam. Maka jangan menzaliminya, kalau tidak mampu berhujah, dan jangan membuat kenyataan sembarangan kalau tiada pengetahuan berkenaannya, nanti diketahui siapa yang sebenarnya bodoh. Lebih malang lagi sekiranya termasuk dalam senarai orang-orang yang dihukum bodoh oleh Allah S.W.T.

“Islam Memimpin Perpaduan”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 16 Zulhijjah 1440 / 17 Ogos 2019