MARANG – Bertahun-tahun mengerah tenaga siang dan malam, memandu Grab pada waktu siang dan membungkus nasi lemak pada waktu malam, akhirnya penantian seorang ibu tunggal untuk memiliki tanah bagi membina kediaman sendiri berakhir dengan senyuman penuh kesyukuran.
Hazlina Jusoh, 48, yang membesarkan empat anak sendirian, berkata pemberian tanah melalui Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) oleh kerajaan negeri itu umpama hadiah paling berharga dalam hidupnya selepas sekian lama hanya mampu menyewa rumah.
“Syukur Alhamdulillah, saya sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri dan khususnya Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. Dengan tanah ini, saya akhirnya dapat memulakan pembinaan rumah sendiri,” katanya sebak.
Majlis penyerahan dokumen RTB tersebut melibatkan kawasan Sungai Kerak 4 Fasa 3, Bukit Mawi, Bukit Gasing, Bukit Batu Putih dan Bukit Mak Abu di Dewan Majlis Daerah Marang, semalam.
Bagi Mohd Aizulhairi Yahaya, 38, yang bekerja sebagai pembaca meter elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) pula, pemberian tanah itu umpama membuka pintu rezeki baru.
“Sejak memohon lima tahun lalu, saya sentiasa berdoa.
“Dengan harga tanah yang tinggi sekarang, agak mustahil untuk saya beli sendiri. Alhamdulillah, kerajaan negeri bukan sekadar berjanji, tetapi menunaikan janji itu. Terima kasih juga kepada Pejabat Daerah Marang dan pihak JPKK yang banyak membantu,” ujarnya.
Sementara itu, Siti Nurul Ashikin Ariffin pula mengakui kehidupannya bersama suami yang bekerja biasa-biasa sahaja tidak pernah mudah.
Katanya, bekerja sebagai tukang jahit, dia memahami betapa sukar untuk memiliki tanah sendiri.
“Pemberian ini sangat-sangat bermakna. Ia hadiah terbesar buat keluarga kami. Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana prihatin dengan nasib rakyat,” katanya.
Penyampaian dokumen RTB ini sekali lagi membuktikan keprihatinan kerajaan negeri dalam memastikan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, tidak ketinggalan memiliki tanah dan kediaman sendiri demi masa depan yang lebih terjamin.