Home Artikel PAS Pusat

Sheikh Daud Al-Fathani Pimpin Umat Lawan Siam

455
SHARE


RAMADHAN DAN PERJUANGAN ~ 1441

Siri 5
https://m.facebook.com/mohdfadlighani

SHEIKH DAUD AL-FATHANI PIMPIN UMAT LAWAN SIAM


KEJATUHAN Pattani ke tangan Siam dan syahidnya Sultan Mohamad Pattani (1776-1786M) pada 1786M telah membawa petaka kepada bumi ulamak yang menjadi “Cermin Mekah” ini. Sebelum ini, Siam telah telah melancarkan berpuluh kali serangan ke atas Pattani sejak 1603M, tetapi mereka gagal. Sejak Pattani menjadi taklukan Siam, negeri ini tidak lagi mempunyai raja yang berdaulat, bahkan tempoh antara 1786M hingga 1842M, raja-raja Pattani dilantik mengikut kehendak Siam.

Raja-raja Pattani seperti Tengku Lamidin (1786-1791M), Datu Pengkalan (1791-1808M), Nai Kwan Sai (1808-1815M), Nai Phai (1815-1816M), Tuan Sulong (1816-1832M) dan Nik Yusof (1832-1842M) adalah “raja-raja patung” yang tidak berdaulat. Jika mereka membantah atau melawan Siam seperti Tengku Lamidin dan Datu Pengkalan, mereka akan dipecat dan dibunuh oleh Siam. Bahkan, ekoran pemberontakan Datu Pangkalan pada 1808M, Siam telah melantik orang Cina-Siam, Nai Kwan Sai dan Nai Phai sebagai raja di negeri Melayu.

Peranan Pattani sebagai kerajaan dan pusat perdagangan terbesar di Teluk Siam telah hancur dengan penaklukan Siam ini. Lebih teruk lagi apabila para ulamak tidak lagi dapat berfungsi dalam pentadbiran kerajaan dan juga pendidikan di pondok-pondok dengan berkesan. Kerana itu, ulamak mendukung pemberontakan Tengku Lamidin pada 1891M dan Datu Pengkalan pada 1808M. Kesan dari itu, pada 1816M Siam telah memecahkan Pattani kepada dua. Pertama, tujuh wilayah utara dipecahkan dari Pattani dan diletakkan di bawah Ligor bermula dari Tiba (Thepa) hingga ke Singgora (Songkhla). Kedua, tujuh wilayah di selatan pula dipecahkan menjadi tujuh negeri iaitu Pattani, Nongcik, Teluban, Jalor, Jering, Reman dan Legeh dengan raja masing-masing tetapi di bawah kawalan Raja Jering berbangsa Cina-Siam, Nai Phai.

Umat Melayu Terus Bangkit

Dalam keadaan orang Melayu lemah kerana negeri mereka dipecah-pecahkan oleh Siam dan setiap negeri mempunyai raja sendiri, para ulamak berusaha membangkitkan semula semangat orang Melayu untuk menentang Siam. Di antara ulamak yang terkehadapan ialah Sheikh Wan Mustafa yang pernah menjadi Wazirah al-Harbi (Menteri Pertahanan) Pattani dari kalangan ulamak kerajaan. Beliau selalunya dikenali sebagai Hulubalang Wan Pa. Manakala di kalangan ulamak rakyat pula, tokoh utama ialah Sheikh Daud al-Fathani. Ulamak-ulamak lain juga tidak kurang yang terlibat walaupun pergerakan politik mereka sangat terhad kerana dikawal oleh Siam. Kerana sekatan-sekatan politik ini, sudah ada ulamak Pattani yang mula berundur ke Kelantan dan Seberang Prai yang tidak dikuasai oleh Siam.

Dalam suasana tegang ini, Raja-raja terpaksa mengikut kehendak Siam dan tidak dapat bergerak bebas secara bersendiri. Pada ketika inilah, Mufti Kedah, Sheikh Abdul Qadir al-Mahdani mengutuskan surat kepada ulamak Mekah memaklumkan keadaan negeri Kedah dan Pattani yang terjajah oleh Siam. Beberapa ulamak termasuk Sheikh Daud al-Fathani telah menyertai Sheikh Abdul Samad al-Falembani telah balik ke Tanah Melayu untuk memimpin gerakan ke atas penjajah Siam. Hasilnya, satu gerakan telah dilancarkan dari Kedah untuk menyerang Siam pada 1831M dengan dipimpin oleh Tunku Kudin.

Melihat gerakan Tunku Kudin ini, Siam telah mengarahkan Nai Phai, Raja Jering untuk mengumpulan orang Melayu Pattani membantu Siam. Raja-raja Melayu, para ulamak dan rakyat jelata dari lima negeri iaitu Pattani, Yala, Nongcik, Jering dan Teluban telah dipaksa bergerak ke Singgora dengan dipimpin oleh Nai Phai. Ketika sampai di Tiba, ulamak-ulamak telah mempengaruhi Raja-raja Melayu supaya belot dan menyokong Tunku Kudin. Mereka telah bergabung dengan Kedah di Chenok dan menyerang Singgora pada 1832M. Antara tokoh utama yang memimpin pergerakan ulamak ini ialah Sheikh Daud al-Fathani, pengarang kitab Munyatul Musolli yang terkenal itu.

Sheikh Daud al-Fathani Memimpin Jihad

Nama Sheikh Daud al-Fathani tidak asing bagi orang Melayu kerana beliau dianggap ulamak terbesar yang pernah lahir di Alam Melayu ini. Sheikh Daud mempunyai pertalian darah dengan pendakwah terkemuka, Syed Hussein Jamadil Kubra melalui jalur ayah dan ibunya. Ibu beliau adalah cicit kepada Tok Kaya Ratna Diraja Patani (Wan Yusof), manakala ayahnya adalah cicit kepada Tok Kaya Pandak (Wan Ismail). Sedangkan, kedua-dua pembesar Patani ini – Tok Kaya Pandak dan Tok Kaya Ratna di Raja – adalah adik-beradik, anak kepada Perdana Menteri Patani, Datuk Maharajalela Faqih Ali yang selalu disebut sebagai Andik Ali atau Nakhoda Wangkang itu. Sedangkan Datuk Faqih Ali sendiri adalah anak kepada Raja Jambu, Nik Mustafa yang terkenal sebagai Sultan Abdul Hamid (Po Rome), Raja Champa.

Sheikh Daud dilahirkan di Kg Parit Marhum, Kerisik pada sekitar 1740M dan belajar di Pondok Pauh Bok beberapa tahun bersama Sheikh Abdul Samad al-Falembani yang jauh lebih tua daripadanya. Setelah itu, beliau belajar di Aceh selama dua tahun. Kemudian beliau terus ke Mekah dan Madinah untuk belajar selama lebih 30 tahun. Guru terbesarnya ialah Sheikh Mohamad Abdul Karim as-Saman yang terkenal itu. Setelah tamat belajar, beliau pulang ke Patani beberapa ketika, kemudian kembali ke Mekah dan menjadi guru di sana. Selain mengajar, aktiviti utama beliau ialah menulis kitab dan menjadi sheikh haji. Wan Mohd Saghir menyenaraikan hampir 60 karya yang dihasilkannya, sedangkan Ismail Che Daud mengatakan jumlahnya melebihi 130 buah.

Di sebalik kegiatan akademik yang begitu hebat, Sheikh Daud terlibat juga dengan politik Patani. Beliau begitu terkesan dengan kejatuhan Patani pada 1786M dan mula menyuarakan pandangan politiknya lewat kitab-kitab yang ditulisnya. Antaranya Tuhfatul Raghibin I (1233H), Tuhfatul Raghibin II (1234H), Jam’ul Fawaaid (1239H) dan Munyatul Musolli (1242H), selain Furu’ul Masa’il (1254-1357H). Melalui Munyatul Musolli yang ditulis pada 1242H (1827M), beliau menyebut tentang isu kepemimpinan dalam Islam, satu sindiran terhadap raja-raja patung yang dilantik sejak 1786M yang menjadi punca kelemahan umat.

Menurut Wan Mohd Saghir juga, ketiga-tiga kitab yang disebut di atas membahaskan panjang lebar tentang masalah penjajahan bangsa kafir ke atas umat Islam. Hal yang sama juga disebut di dalam fatwa-fatwanya yang tercantum di dalam Furu’ul Masa’il. “Tulisan Sheikh Daud Abdullah al-Fathani yang panjang mengenai jihad beliau tulis dalam dua buah karyanya, Jam’ul Fawaid dan Tuhfatul Raghibin,” kata Wan Mohd Saghir.

Turun ke Medan Jihad

Ketika beliau ditanya tentang hukum jihad, di dalam Furu’ul Masa’il beliau mengatakan hukumnya fardhu ain jika orang kafir menceroboh negeri Islam, erti setiap individu Islam di negeri tersebut dan sekitarnya wajib berjihad. Jika tiada kesanggupan pun, ia tetap wajib juga sehingga negeri itu kembali ke tangan Islam. Jika ada orang Islam yang ditawan oleh kafir, wajib orang Islam berjuang membebaskannya. Demikian wajib orang Islam menolak pencerobohan ke atas para muslimat. Membebaskan orang Islam adalah kewajipan dan membebaskan negeri Islam yang dirampas oleh kafir juga kewajipan. Fatwa yang serupa juga disebut oleh Sheikh Daud dalam Jawahirus Saniyah (1252H).

Di dalam Bughyatut Tulab pula, Sheikh Daud menjelaskan “Dan setengah daripada perang sabil bagi (ke atas) kuffar yakni wajib Imam (raja atau pemimpin) itu pergi kepada negeri mereka itu (untuk berperang), maka iaitu fardhu kifayah dengan ijmak…Tetapi jika ia (tentera kuffar) datang kepada negeri Islam, maka jadilah ia fardhu ain atas tiap-tiap orang (berjihad menentang mereka).” Demikian itulah tegasnya pandangan Sheikh Daud terhadap suasana politik negeri Patani ketika ini.

Di samping fatwa-fatwa jihad tersebut, Sheikh Daud telah menerima panggilan jihad daripada Mufti Kedah, Sheikh Abdul Qadir al-Mahdani ekoran pergolakan politik terbaru setelah jatuhnya Kedah ke tangan Siam pada 1821M. Beliau bersama beberapa ulamak telah kembali ke Patani pada 1829M dan terlibat dalam perperangan yang telah disebutkan di atas di Singgora pada 1832M. Beberapa ulamak seperti Tunku Muhammad Saat, Sheikh Abdul Samad al-Falembani, Sheikh Nik Abdul Wahab, Sheikh Mas’ud al-Banjari dan lain-lain telah syahid.

Berundur dan Mengatur Strategi Baru

Kekalahan tentera Patani dan Kedah pada 1832M telah memaksa Sheikh Daud bersama sejumlah ulamak berundur. Bukan ke Patani, tetapi keluar dari wilayah yang dikuasai oleh Siam. Raja-raja Patani seperti Tuan Sulong (Patani), Tuan Nik Dah (Legeh), Tuan Kundur (Jalor) dan Tuan Kecik (Nongcik) telah diburu oleh Siam. Tuan Kecik dan Tuan Nik Dah berundur ke hulu, di mana Tuan Kecik mangkat dalam pelarian ini, manakala Tuan Nik Dah terpaksa menyamar menjadi orang awam dan keturunannya telah melucutkan gelaran diraja. Tuan Sulong dan Tuan Kundur yang berundur ke Kelantan terpaksa diserahkan kepada Siam setelah Kelantan diugut untuk diserang juga.

Turut diserahkan ialah sejumlah panglima perang seperti Panglima Damit, Panglima Mahmud, Panglima Pik dan Panglima Ahmad. Sebahagian yang lain terpaksa bersembunyi dan manyamar di Kelantan dan Terengganu, termasuk keluarga Hulubalang Sheikh Abdul Wahab (cucunya, Tuan Konok adalah ulamak terkenal di Kelantan). Sheikh Daud sendiri bersama ahli keluarganya berundur ke Terengganu bersama Tok Sheikh Duyung, Tuan Hassan Besut, Sheikh Abdul Qadir Bukit Bayas dan lain-lain. Selain Kelantan dan Terengganu, banyak juga yang berhijrah ke Kedah, Perlis, Seberang Perai dan Perak.

Dari Terengganu, Sheikh Daud kembali ke Mekah. Di Tanah Suci itu, beliau mengembleng tenaga untuk melahirkan ulamak-ulamak Melayu bagi meneruskan perjuangan ke atas penjajah sehingga lahir generasi baru ulamak yang berjiwa politik. Mereka bergabung pula dengan ulamak Indonesia seperti Sheikh Ahmad Khatib Minangkabau dan ulamak India, Maulana Rahmatullah Khan untuk membina kesedaran jihad ke atas penjajah pada generasi selepas Sheikh Daud. Sheikh Daud sendiri terus memperkatakan tentang kewajipan jihad melalui karya-karyanya selepas perang seperti Jawahirus Saniah, Bughyatut Tulab dan Furu’ul Masa’il. Sheikh Daud wafat di Taif pada 1847M dan dikebumikan di sana.

MOHD FADLI GHANI
Institut al-Balaghul Mubin
5 Ramadhan 1441 / 28 April 2020