Home Berita PAS Sabah

SHAFIE APDAL PERLU UTAMAKAN SURVIVAL RAKYAT SABAH BERBANDING BERMAIN POLITIK

1540
SHARE

KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SABAH (DPPNS)

SHAFIE APDAL PERLU UTAMAKAN SURVIVAL RAKYAT SABAH BERBANDING BERMAIN POLITIK

08 Mei 2020 | 15 Ramadan 1441H

1. Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah menyelar sikap Presiden Warisan Sabah merangkap Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Bin Apdal yang kelihatan lebih mengutamakan kepentingan politik peribadi saat ini sewaktu rakyat Sabah mencari sesuap nasi demi survival kehidupan kerana terkesan dalam suasana pemulihan COVID-19.

2. Ini susulan tularnya surat beliau yang ditujukan kepada Yang Di-Pertua Dewan Rakyat bagi mengemukakan usul dan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai keyakinan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri di bawah Peraturan Mesyuarat 26(1) dan dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27(3) dalam Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

3. Namun, ia telah dijawab semula oleh Yang Di-Pertua Dewan Rakyat dengan mengatakan usul itu “dibawah Peraturan Mesyuarat 27(3) ditolak kerana usul dikemukakan tidak selari dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan kerana ia mempertikai kuasa Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dalam urusan melantik YAB Perdana Menteri”.

4. Oleh yang demikian, kami ingin menasihatkan Datuk Seri Mohd Shafie Bin Apdal agar sentiasa mematuhi Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan dan tidak mengambil pendirian yang boleh dilihat mempertikaikan kuasa Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong yang melantik Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yasin.

5. Selain itu, Pemuda PAS Sabah juga menggesa agar Datuk Seri Mohd Shafie Bin Apdal untuk terus fokus membantu rakyat negeri ini terutama mereka yang terkesan dan putus mata pencarian ekoran Perintah Kawalan Pergerakan COVID-19 sehingga situasi rakyat negeri ini stabil.

6. Pemuda PAS Sabah juga melihat Presiden Warisan tidak akan mampu mengemudi negeri Sabah secara bersendirian sebagai negeri pembangkang. Justeru itu, kami menyarankan Parti Warisan meninggalkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan beralih untuk bersama PAS, BN, Bersatu, GPS, dan STAR bagi mengukuhkan konsep federalisme antara kerajaan negeri dan persekutuan demi kebaikan anak negeri Sabah.

Sekian, terima kasih.

‘SABAH SEJAHTERA’

MUSTAMAN BIN MUSTAIN
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS).