KUALA TERENGGANU – PAS Kawasan Setiu yakin mencapai sasaran kehadiran sekurang-kurangnya 1,000 peserta ke Ijtimak Kepimpinan PAS Negeri Terengganu dengan kerjasama padu seluruh jentera parti.
Ketua Penerangan PAS Kawasan Setiu, Ustaz Abdul Hadi bin Muhammad, berkata, menjadi tanggungjawab bersama seluruh ahli PAS di kawasan bagi memastikan program tahunan terbesar itu mencapai objektifnya.
“Program tahunan ini amat penting kepada ahli di semua peringkat kerana ia menjadi medan untuk mendengar secara langsung tarbiah, nasihat, dan arahan daripada pimpinan negeri.
“Bagi memastikan kehadiran peserta mencapai sasaran, setiap ahli PAS perlu memainkan peranan dengan mengambil bahagian dalam program tersebut,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.
Beliau menegaskan bahawa Penerangan Kawasan Setiu akan berusaha memastikan seruan ini disampaikan ke semua peringkat cawangan dan keluarga ahli agar tiada yang terlepas daripada menyertai program berimpak besar ini.
Menurutnya, ijtimak kali ini turut menekankan konsep ‘Keluarga PAS’, dengan harapan setiap anak ahli dapat didaftarkan secara rasmi sebagai ahli, sekali gus menjadi pelapis kepimpinan masa hadapan.
Justeru, beliau menyeru semua ahli PAS agar meluangkan masa menghadirkan diri ke program berkenaan demi meningkatkan kefahaman tentang perjuangan jemaah Islam.