Khabar PAS Kawasan Dari Selangor | PAS Kawasan Gombak
Oleh : Abu Aslah Al-Qudsi
Gombak | Semakin hari suasana kes di Selangor semakin membimbangkan. Bukan untuk menakutkan namun hakikatnya ia suatu yang benar dan sangat merunsingkan berlaku dihadapan kita.
YDP PAS Kawasan Gombak Ustaz Saleh Huddin Mohd Nasir dalam satu kenyataannya menyebutkan bahawa serangan wabak COVID-19 khususnya di Gombak semakin merebak. “Ramai di kalangan ahli dan amilin PAS Kawasan Gombak yang telah didapati positif COVID-19”.
“Ada di kalangan kita yang kini sedang menjalani kuarantin di rumah, ada sebahagian kini sedang dirawat di hospital, malah ada yang sudah meninggalkan kita bertemua Allah Azza Wajalla. Saya ingin mengingatkan agar ahli-ahli sekalian menjaga sepenuhnya SOP yang telah digariskan oleh pihak KKM dan MKN. Saya juga mengingatkan agar setiap daripada kita menjalani “self lockdown” secara bersungguh-sungguh. Amalkan pemakaian double mask (dua lapisan face mask) apabila perlu keluar rumah dan pastikan semua telah mendaftarkan diri dan keluarga sebagai penerima vaksin”, jelas beliau lagi.
Dalam keadaan suasana getir bagi meringankan beban keluarga dikalangan ahli, PAS Kawasan Gombak telah menubuhkan Tabung Sumbangan Prihatin khas bagi membantu ahli-ahli dan keluarga yang terkesan dengan wabak ini. Begitu juga Dewan Ulama PAS Kawasan akan mengadakan bacaan tahlil dan munajat secara atas talian dalam masa yang terdekat sebagai satu ikhtiar.
Menurut beliau lagi, “PAS Kawasan Gombak merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga ahli PAS yang telah meninggal dunia disebabkan wabak ini. Semoga mereka semua digolongkan daripada kalangan orang yang beriman di sisi Allah SWT. Dalam masa yang sama memperbanyakkan doa perlindungan daripada Allah agar kita dijauhkan daripada jangkitan ini dan menyembuhkan ahli keluarga dan rakan-rakan yang sedang diuji dengan jangkitan ini”.
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor