Home Artikel PAS Terengganu

Seruan setengah juta Dana Taawun PAS Relief Terengganu untuk Rohingya

149 views
SHARE

Oleh: Syamila Najman

Kuala Terengganu, 12 Oktober 2017-Semangat yang dibawa oleh Fastaqim 2.0 yang berjaya menghimpunkan ribuan penyokong PAS di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus, Kuala Terengganu terus membangkitkan semangat umat Islam khususnya ahli-ahli PAS untuk menyiapkan diri melaksanakan tanggungjawab di posisi masing-masing.

Wawancara "Peranan Kita Saudara Seislam Dalam Membantu Masyara…

Wawancara "Peranan Kita Saudara Seislam Dalam Membantu Masyarakat Rohingya" bersama Tuan Haji Yahaya Ali, selaku Pengerusi NGO DEMI.#Like #Share#HarapTV

Posted by Harap TV on 12hb Oktober 2017

Mengambil semangat kebersamaan ini, PAS Relief, satu badan NGO yang dipertanggungjawabkan oleh PAS Pusat yang giat menjalankan aktiviti-aktiviti membantu saudara-saudara seIslam di Rohingya menyeru seluruh umat Islam untuk bersama-sama menghulurkan bantuan bagi memenuhkan tabung yang mensasarkan setengah juta ringgit untuk Rohingya. Tabung yang dinamakan sebagai Tabung Taawun ini demi menyediakan keperluan-keperluan asas kepada pelarian Rohingya yang berada di sempadan Bangladesh.

Bercakap semasa sesi wawancara HarapTV yang turut disiarkan secara langsung oleh Radio Internet PAS, Hijau.fm melalui slot Suara Dari Terengganu, Timbalan Pesuruhjaya Tiga PAS Negeri Terengganu merangkap Pengerusi Badan Penggerak Demokrasi dan Mobilisasi Rakyat Terengganu (DEMI), Tuan Haji Yahaya Ali berkata, “Keadaan di sana sangat kritikal. Atas nama umat Islam, kita berasa sungguh sedih dan dukacita dengan apa yang berlaku kerana ini adalah satu agenda pembersihan etnik dan mereka diperlakukan dengan sebegitu dahsyat. Mereka dinafikan hak-hak sebagai manusia. Tiada penempatan, tiada keperluan asas seperti makanan, minuman, keperluan ibadat dan sebagainya.

Aktiviti pembersihan etnik ini telah berlanjutan dan etnik Rohingya yang tinggal sekarang hanyalah 500,000 orang sahaja. Sebahagian besar daripada mereka telah dibunuh dan sebahagiannya menjadi pelarian. Malah di sepanjang perjalanan ke tempat baharu, sebahagian daripada mereka telah mati.

Jadi keadaan di sana sangat menuntut satu tindakan pembelaan khususnya daripada masyarakat Islam. Mereka sebagai pelarian, mereka datang dalam keadaan sehelai sepinggang dengan pelbagai penderitaan yang ditanggung. Mereka memerlukan makananan, bekalan air bersih, penempatan, pelajaran dan keperluan ibadah. Ini adalah antara tanggungjawab yang perlu dan telah dimainkan oleh PAS Relief, Alhamdulillah.”

Menyambung perbualan, Tuan Hj Yahaya Ali berkata, pasca Fastaqim 2.0 ini, kami merangka perancangan untuk mengumpulkan sejumlah wang tunai sebanyak setengah juta untuk disumbangkan kepada saudara seIslam di sana. InsyaAllah jumlah yang dikutip nanti akan dimanfaatkan untuk menyediakan keperluan-keperluan yang disebutkan tadi.

Yang paling utama sekarang adalah ‘shelter’ atau tempat perlindungan sementara. Bukanlah kami mensasarkan bangunan yang kukuh dan besar, sekadar ‘shelter’ sudah cukup baik buat mereka untuk berlindung dari terik panas dan hujan. Di samping itu, makanan dan bekalan air bersih juga akan diusahakan.

Walaupun ini adalah isu kemanusiaan, kita sebagai umat Islam lebih bertanggungjawab terhadap mereka sebagaimana perbandingan umat Islam adalah seumpama satu badan. Jika satu bahagian terasa sakit, bahagian yang lain turut sama-sama merasainya.”

Di atas rasa kebertanggungjawaban inilah PAS Relief mengajak masyarakat bersama-sama mengambil tanggungjawab ini. Sumbangkanlah sekadar kemampuan masing-masing ke dalam satu dana yang telah ditetapkan iaitu Dana Taawun DPPNT (Maybank) dengan nombor akaun 563064115873.

Walaupun kita dipisahkan oleh sempadan geografi tetapi mereka adalah saudara kita yang telah diperlakukan dengan begitu dahsyat. Sumbangan itulah menandakan sentuhan kasih-sayang kita, yang insyaaAlah meringankan penderitaan yang sedang mereka alami sekarang ini.”