KUALA LUMPUR – Langkah Malaysia menyertai BRICS yang kini diketuai oleh Rusia dijangka dapat memperluaskan peluang ekonomi dan memainkan peranan lebih aktif di arena antarabangsa.
Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, menyatakan sokongan penuh terhadap kedudukan Malaysia sebagai rakan strategik dalam blok ekonomi BRICS.
“Usaha pembangunan negara tidak boleh hanya bergantung pada inisiatif domestik semata-mata, jika kita terus bersikap pasif di peringkat antarabangsa, kemajuan negara mungkin terencat.
“Justeru, dengan keterlibatan Malaysia dalam BRICS, kita bukan sahaja mempunyai akses kepada pelbagai peluang ekonomi, malah dapat berperanan dalam membentuk naratif geopolitik global,” ujarnya.
Menteri Besar Terengganu itu turut menekankan bahawa kerjasama dalam BRICS membuka pintu yang luas bagi Malaysia, terutama dalam aspek perdagangan, pelaburan dan perkongsian sumber.
“Sebagai sebuah negara kecil, peluang untuk bekerjasama dalam rangkaian yang luas ini memberi kita ruang untuk menentukan hala tuju sendiri dalam landskap ekonomi global yang kini sangat dinamik.
“Ini adalah langkah untuk mengukuhkan kestabilan ekonomi kita sambil membina hubungan lebih erat dengan negara-negara rakan di BRICS,” jelas beliau.
BRICS, sebuah blok ekonomi yang dianggotai oleh Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan, mempunyai pengaruh besar dalam pelbagai sektor ekonomi global, dengan kemasukan Malaysia sebagai rakan strategik, peluang ekonomi yang lebih luas dijangka bakal dinikmati, khususnya melalui perdagangan dan pelaburan.
BRICS juga menawarkan akses kepada sumber yang lebih murah dan perjanjian perdagangan yang lebih fleksibel, sesuatu yang amat bernilai bagi negara sedang membangun seperti Malaysia.
Dalam ucapan beliau, Ahmad Samsuri turut menyatakan bahawa menjadi tanggungjawab Malaysia untuk mengoptimalkan peluang ini demi kepentingan rakyat.
“Yang penting adalah, kita mesti memenuhi keinginan dan aspirasi kita sebagai sebuah negara berdaulat, sambil memanfaatkan peluang ini dengan bijak,” tambah beliau.