Home Berita PAS Terengganu

Serangan ‘Taufan Al-Aqsa’ Hamas sedang landa Israel

98
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kumpulan pejuang Palestin iaitu Hamas dan Jihad Islami melancarkan operasi ketenteraan mengejut ke atas negara haram Israel yang dikenali sebagai ‘Taufan Al Aqsa’.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata serangan itu dilancarkan dari darat, udara dan laut.

Katanya, ia berikutan pencerobohan berterusan pendatang haram yahudi termasuk pemimpin utama regim zionis Israel ke atas Masjid Al-Aqsa di samping kekejaman dan kezaliman yang berterusan ke atas rakyat Palestin.

“Sehingga kini tentera regim zionis Israel melaporkan lebih 2,200 serangan roket dilancarkan ke atas wilayah Palestin yang dijajah regim zionis Israel seperti utara Gaza, Esklan, Bir Al-Saba, Ashdoud, Tel Aviv dan Jerusalem.

“Kumpulan pejuang Palestin juga telah berjaya melepasi dan kemudiannya merobohkan pagar sempadan regim zionis Israel di Semenanjung Gaza serta manawan dan membebaskan sekurang-kurangnya 3 wilayah (penempatan) yang sebelum ini dikuasai regim zionis Israel.

“Hamas kemudiannya mengumumkan telah berjaya menawan kembali Timur Rafah,” katanya melalui hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini.

Tambah Dr Khalil, ketika ini dilaporkan sedang berlangsung pertempuran sengit antara kumpulan pejuang Palestin dan tentera regim zionis Israel di sekurang-kurangnya 20 lokasi di utara Gaza.

“Kumpulan pejuang Palestin terus melancarkan serangan roket ke atas Tel Aviv, Jerusalem dan lokasi-lokasi penting regim zionis Israel.

“Dilaporkan juga berkemungkinan satu pengkalan tentera regim zionis Israel telah ditawan kumpulan pejuang Palestin.

“Berikutan serangan kumpulan pejuang Palestin, puluhan tentera dan polis regim zionis Israel ditembak mati termasuk ditawan termasuk ditawan seorang pegawai tertinggi tentera regim zionis Israel,” ujarnya.

Menurut satu sumber, sekurangnya-kurangnya 60 orang pendatang haram yahudi ditawan kumpulan pejuang Palestin dan pendatang haram yahudi secara beramai-ramai telah meninggalkan wilayah yang ditawan dan berada dalam kawasan operasi ketenteraan kumpulan pejuang Palestin.

Terkini, warga Palestin telah mula memasuki wilayah yang telah ditawan kumpulan pejuang Palestin dan kumpulan pejuang Palestin sedang meluaskan kawasan operasi ketenteraan dan memperhebatkan serangan ke atas regim zionis Israel.