DUNIA ISLAM : API PEPERANGAN SEDANG MARAK DI TIMUR TENGAH.
Donald Trump dan Timur Tengah.
Semenjak Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat, keadaan di Timur Tengah menjadi lebih gawat dan kucar kacir. Polisi dan dasar luar Amerika Syarikat dilihat berat sebelah dan memihak kepada Israel. Tambahan pula apabila Donald Trump melantik menantunya Jared Kushner, berbangsa Yahudi yang mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu sebagai penasihat kepada Presiden Amerika Syarikat berkenaan polisi dan dasar luar berkaitan Timur Tengah, keadaan menjadi lebih bahaya kepada rantau tersebut.
Maka bermulalah apa yang boleh kita takrifkan sebagai agenda untuk memperkuatkan pengaruh dan kekuasaan Zionist Israel di rantau itu. Tindakan pertama yang dilakukan oleh Donald Trump ialah untuk menguatkan pengaruh dan sokongan terhadap Amerika Syarikat di Timur Tengah sebagai kuasa tunggal yang berpengaruh di rantau tersebut selain daripada menjamin kedudukan dan keselamatan Israel serta melemahkan pengaruh Iran.
Untuk melaksanakan misi tersebut, Amerika Syarikat telah membentuk satu pakatan yang terdiri daripada negara – negara Asia Barat yang takut akan berkembangnya kekuasaan dan pengaruh Iran di rantau tersebut yang terdiri daripada Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu ( UAE ), Mesir, Oman, Bahrain dan beberapa negara lagi. Amerika Syarikat telah memperkuatkan dan memberikan negara – negara tersebut bantuan ketenteraan, ekonomi dan teknologi samada dengan menjual senjata yang moden dan terkini, memberikan bantuan kewangan mahupun pelindungan ketenteraan untuk menjamin keselamatan negara tersebut.
Sebagai contoh Arab Saudi di mana Amerika Syarikat telah menandatangani perjanjian penjualan senjata kepada negara tersebut bernilai USD 110 billion berkuatkuasa serta merta dan USD 350 billion dalam tempoh 10 tahun pada awal 2017 selepas Donald Trump memenangi Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat. Perjanjian perjualan senjata tersebut yang terdiri daripada sistem peluru berpandu, kereta kebal, kapal perang, radar, alatan telekominukasi dan siber sekuriti. Amerika Syarikat juga memberikan bantuan kewangan yang besar untuk sektor ketenteraan Mesir yang bernilai USD 195 juta pada 2017 selain ratusan juta dolar untuk bantuan ekonomi. Bantuan dan penjualan tentera tersebut adalah sebagai balasan untuk menyokong Amerika Syarikat di samping membantu Amerika Syarikat dalam mengekang pengaruh Iran di rantau tersebut.
Tindakan seterusnya yang di lakukan oleh Donald Trump ialah mengisytihar Jerusalem atau Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel serta memindahkan konsulat Amerika Syarikat ke Baitulmaqdis sebagai tanda pengiktirafan. Tindakan tersebut sudah semestinya mendapat sokongan kuat Zionist Israel walaupun ditentang hebat PBB dan negara – negara lain dari seluruh dunia.
Selain daripada untuk mengotakan janjinya dalam Piliharaya Presiden Amerika Syarikat yang lalu, tindakan Donald Trump adalah untuk menguatkan lagi sokongan pelobi – pelobi Yahudi terhadap beliau dan membalas jasa Benjamin Netanyahu yang memberikan sokongan terhadap beliau ketika Pilihanraya Amerika Syarikat yang lalu. Walaupun tindakan tersebut mendapat tentangan kuat namun beliau tetap meneruskannya hingga terbinanya konsulat tersebut di Baitulmaqdis. Jared Kushner pula dalam masa yang sama telah menyusun strategi dan polisi Timur Tengah yang akan mengubah landskap geopolitik rantau tersebut melalu pelan damai yang dinamakan Deal of the Century.
Kemuncak tindakan Donald Trump ialah dengan menarik Amerika Syarikat keluar daripada perjanjian Perjanjian Nuklear Iran atau Joint Comprehensive Plan Of Action pada 8hb Mei 2018. Perjanjian tersebut adalah untuk menghadkan limitasi Iran dalam Uranium Enrichment Program untuk penghasilan senjata nuklear. Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Iran dan Majlis Kelamatan PBB, Jerman dan Kesatuan Eropah. Tindakan tersebut menimbulkan kemarahan Iran yang telah mematuhi perjanjian tersebut dengan tidak menjalankan program pengkayaan uranium semenjak menandatanganinya.
Kesatuan Eropah dan negara anggota Majlis Keselamatan PBB juga telah menentang tindakan Amerika Syarikat kerana tindakannya. Setelah menandatangani perjanjian tersebut, banyak syarikat dari negara Kesatuan Eropah mahupun negara anggota Majlis Keselamatan PBB terutamanya yang terbabit dalam sektor minyak dan gas telah melabur dalam jumlah yang cukup besar di Iran. Jika dikaji tindakan Donald Trump, ia bertujuan untuk mengasingkan Iran daripada dunia antarabangsa, melumpuhkan ekonomi Iran, melemahkan pengaruh Iran terhadap dunia luar serta menjamin keselamatan dan kedudukan Israel memandangkan Iran adalah ancaman terbesar buat Israel setelah Iraq, Libya dan Syria berjaya dilemahkan.
Donald Trump dan Pilihanraya Umum Israel.
Setelah berjaya dalam mengekang pengaruh Iran di rantau Asia Barat dan antarabangsa serta mendapat sokongan kuat daripada negara di rantau Asia Barat, Amerika Syarikat berusaha untuk melunakkan negara – negara di rantau Asia Barat agar berdamai dengan Zionist Israel serta menjalinkan hubungan diplomatik samada rasmi mahupun tidak rasmi. Ia bertujuan untuk menjaga keselamatan dan kedudukan negara haram Zionist Israel selain daripada memperkukuhkan kedudukan Amerika Syarikat di rantau tersebut.
Jared Kushner, penasihat kepada Presiden Amerika Syarikat untuk dasar dan polisi Timur Tengah dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo telah mengadakan beberapa rundingan dengan pemimpin negara Timur Tengah terutamanya Putera Mahkota Arab Saudi Muhammad Bin Salman untuk tujuan tersebut demi merealisasikan pelan damai Asia Barat yang baharu anjuran Amerika Syarikat. Akhirnya pelan tersebut menemui kejayaan apabila Perdana Menteri Zionist Israel Benjamin Netanyahu dan beberapa menteri kabinet Zionist Israel dilihat mengunjungi beberapa negara Timur Tengah seperti Oman samada secara rasmi mahupun perjumpaan rahsia. Beberapa pimpinan negara Timur Tengah juga dipercayai mengunjungi Israel dalam usaha merealisasikan tujuan tersebut.
Akhirnya apa yang ditakuti oleh Dunia Islam sebelum ini telah terjadi iaitu Israel telah berjaya melunakkan beberapa negara utama Dunia Islam dan tidak mustahil akan datang banyak negara di kalangan Dunia Islam akan mengikut jejak tersebut. Namun sebenarnya walaupun segala usaha ini adalah bertujuan untuk melemahkan pengaruh Iran, memperkuatkan kedudukan Amerika Syarikat sebagai kuasa tunggal di Asia Barat dan menjaga keselamatan mahupun kedudukan Zionist Israel seperti yang tersurat di dalam pelan damai Asia Barat baharu anjuran Amerika Syarikat, ia juga bertujuan untuk memperkukuhkan kedudukan Benjamin Netanyahu sebagai Perdana Menteri Israel ketika di ambang pilihanraya umum Israel yang hampir kunjung tiba.
Benjamin Netanyahu mendapat saingan sengit dalam Pilhanraya Umum Israel yang akan berlangsung tidak lama lagi. Ramai di kalangan rakyat Israel sudah muak dengan polisi dan dasar Benjamin Netanyahu berkaitan Timur Tengah terutamanya Palestin. Di saat ini ramai di kalangan rakyat Israel menyokong parti Resilience atau Blue and White Party pimpinan Benjamin Gantz, bekas ketua tentera Israel atau IDF yang membentuk pakatan nasional bersama parti – parti kecil terutamanya parti yang di dominasi penduduk arab di Israel. Pakatan nasional pimpinan Benjamin Gantz dilihat ingin menghentikan provokasi mahupun peperangan dengan Palestin serta mahu menganjurkan damai. Ramai rakyat Israel yang sudah muak dan ketakutan dengan hujan roket dari wilayah Palestin menyokong Benjamin Gantz selain isu rasuah dan dalam negara yang menghantui Benjamin Netanyahu.
Sokongan tersebut menimbulkan kegusaran Benjamin Netanyahu dan dipercayai mampu mengalahkannya. Maka sebagai sebahagian daripada usaha pelan damai Asia Barat yang baharu anjuran Amerika Syarikat, pelan melunakkan negara teluk bukan hanya setakat menjaga keselamatan Israel namun untuk memperkukuhkan kedudukan Benjamin Netanyahu dalam memenangi Pilihanraya Umum yang akan langsung tidak lama lagi sebagai bukti beliau turut memperjuangkan keamanan dan keselamatan untuk Israel dan rakyatnya. Untuk memperkukuhkan kedudukan Benjamin Netanyahu, Donald Trump baru – baru ini telah mengisytiharkan Bukit Golan sebagai sebahagian daripada wilayah Israel demi untuk mendapatkan sokongan pengundi Israel terhadap parti Likud pimpinan Benjamin Netanyahu.
Ideologi Zionist yang diperjuangkan Benjamin Netanyahu sudah mula tidak mendapat tempat di kalangan majoriti rakyat Israel. Walaupun hampir keseluruhan rakyat Israel masih lagi berpegang teguh kepada ideologi di mana Israel hanya untuk Yahudi dan pembentukan negara Israel yang abadi, ramai di kalangan rakyat Israel mula melihat ideologi Zionist yang dibawa Benjamin Netanyahu hanya akan merosakkan impian mereka dan pembentukan negara Israel yang abadi. Maka disebabkan itu ramai rakyat Israel mula beralih arah daripada Benjamin Netanyahu dan Parti Likud kepada Pakatan Nasional atau Blue and White Party pimpinan Benjamin Gantz. Hingga saat ini setelah diadakan pengundian di seluruh Israel, hampir pasti Benjamin Netanyahu akan kalah dalam Pilihanraya Umum Israel kali ini.
Perang Hampir Tiba : Iran Bakal DiSerang Amerika Syarikat dan Sekutunya.
Setelah berjaya mengekang pengaruh Iran dan mengasingkan Iran daripada dunia antarabangsa, Amerika Syarikat mahupun Israel kali ini mendapat alasan yang cukup kuat untuk menyerang Iran. Baru – baru ini loji penapisan minyak Abqaiq, yang terbesar di dunia milik Aramco, syarikat minyak dan gas milik Arab Saudi telah diserang oleh drone yang dipercayai milik tentera Houthi di Yemen. Serangan tersebut telah meyebabkan kebakaran besar di loji tersebut yang mengeluarkan 5 – 10 peratus daripada keluaran minyak mentah dunia. Hampir 2 billion kubik pengeluaran gas dan 5.7 juta tong minyak metah terpaksa dihentikan akibat kebakaran tersebut, iaitu setengah daripada produksi harian loji tersebut.
Sejurus selepas serangan tersebut, tentera Houthi telah mengaku bertanggungjawab melancarkan melalui agensi berita di bawah kawalannya Al Masirah. Namun Amerika Syarikat melalui Presiden Donald Trump terus mengeluarkan kenyataan bahawa Iran yang bertanggungjawab terhadap serangan tersebut berdasarkan maklumat dan bukti risikan. Iran dalam kenyataannya menegaskan bahawa mereka tidak terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam serangan tersebut.
Serangan ke atas loji penapisan minyak tersebut menyemarakkan lagi api peperangan yang sememangnya sudah sedia membara di rantau Timur Tengah. Arab Saudi secara jelas telah menuding jari kepada Iran yang merupakan dalang di sebalik serangan tersebut walaupun dinafikan sekeras – kerasnya oleh Iran. Terbaru, Arab Saudi telah mendedahkan kepada media antarabangsa bukti – bukti kukuh seperti serpihan drone dan bom yang digunakan untuk menyerang loji tersebut yang dikatakan milik Iran. Arab Saudi juga menuduh Iran menggunakan tentera Houthi untuk mengaku melancarkan serangan tersebut untuk mengelakkan daripada dikesan penglibatannya.
Jurucakap Kementerian Pertahan Arab Saudi, Kolonel Turki Al Malik selain mendedahkan serpihan drone dan bom yang digunakan untuk serangan itu, beliau juga mengesahkan bahawa sebanyak 18 drone dan 7 peluru berpandu krus digunakan untuk serangan tersebut. Beliau juga mendedahkan bahawa tentera Houthi tidak mempunyai teknologi mahupun keupayaan untuk membina drone dan peluru berpandu sebegitu melainkan Iran. Data yang diekstrak dari drone tersebut juga mengesahkan ia adalah milik Iran. Beliau juga turut mendedahkan rakaman video daripada Kuwait yang mendedahkan serangan tersebut menggunakan ruang udara Kuwait yang menguatkan lagi hipotesis bahawa ia datang dari Iran, bukan Yemen seperti yang diakui oleh tentera Houthi.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ketika mengulas pendedahan Arab Saudi menyatakan bahawa terdapat pelbagai pilihan untuk bertindak balas terhadap Iran termasuk perang. Ungkapnya “ There are many options. There’s the ultimate option and there are options that are lot less than that. And we’ll see, I’m saying the ultimate option meaning go in – war “ dan jelas Amerika Syarikat ingin melancarkan perang terhadap Iran. Namun negara – negara dalam Kesatuan Eropah seperti Jerman, Perancis dan United Kingdom dilihat berhati – hati dalam mengeluarkan kenyataan malah Kesatuan Eropah sendiri menyarankan agar satu siasatan terperinci dijalankan sebelum tuduhan dan tindakan diambil terhadap pelaku serangan tersebut.
Akhirnya Komander Aeroangkasa Pengawal Revolusi Iran ( IRGC ) Amirali Hajizadeh memberi amaran bahawa Iran sudah bersiap sedia jika berlaku peperangan berskala penuh dan aset ketenteraan Amerika Syarikat kini berada di dalam jangkauan mereka. Menurut beliau lagi, pengkalan tentera Amerika Syarikat dan kapal pengangkut pesawat mereka berada pada jarak sehingga 2,000 kilometer di sekitar Iran dan kedudukannya dalam julat peluru berpandu Iran. Boleh disimpulkan bahawa Iran sudah bersiap sedia jika berlaku peperangan dengan Amerika Syarikat dan sekutunya.
Perdana Menteri Iraq, Adil Abdul Mahdi memberi gambaran bahawa peperangan besar akan berlaku akibat daripada peristiwa tersebut dengan bumi Iraq akan menjadi medan pertembungan utama Amerika Syarikat dan sekutunya menentang Iran. Rantau Asia Barat yang sememangnya sudah tidak stabil dan peperangan dijangka bakal berlaku. Namun apa yang paling menggusarkan ialah keadaan negara seperti Iraq yang baru sahaja bangkit dari peperangan dan pergolakan dalaman sudah semestinya terkena tempias peperangan tersebut. Baru sahaja bangkit dari kehancuran dan mula membina negara, nampaknya nasib Iraq dan rakyatnya hampir pasti pudar jika berlaku peperangan.
Yang paling menyedihkan sekali ialah OIC dan Liga Arab, semenjak berlakunya konfrantasi ini langsung tidak bermaya dan diam seribu bahasa. Beginilah nasibnya jika Dunia Islam dalam keadaan lemah dan tidak bermaya serta mengikut telunjuk musuh Islam. Sepatutnya OIC mahupun Liga Arab memainkan peranan penting untuk mententeramkan keadaan dan menjadi pengantara untuk menyelesaikan masalah tersebut ataupun mendamaikan pihak yang bertelagah. Apa yang kita lihat sekarang, kedua – dua badan ini sudah hilang arah dan tujuan serta langsung tidak bermaya. Selagimana Dunia Islam lemah, kedua – dua pertubuhan ini akan turut lemah dan tidak berfungsi.
Sama – samalah kita doakan keamanan dan kesejahteraan buat Dunia Islam dan umatnya terutamanya di Timur Tengah. Moga mereka dihindari kecelakaan mahupun peperangan serta dibuka pintu – pintu hati mereka untuk ketenteraman mahupun kedamaian yang mampu mengelak pertumpahan darah dan korban nyawa. Moga kita semua dilindungi dan dirahmati.
YB Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat,
ADUN Batu Burok.