Jalur Gaza yang berkeluasan 45 KM persegi kini semakin mengecil apabila tentera Israel mengembangkan “Koridor Morag”, garis pemisah baharu di selatan menjadikan sepertiga wilayah terkepung itu, “zon keselamatan” rejim yang dikawal sepenuhnya.
Dalam satu video dikeluarkan pihak terbabit, sempadan koridor digariskan tentera zionis, memotong Rafah dari Khan Younis dan tengah Gaza.
Khan Younis, bandar terbesar di selatan Gaza, kelihatan hampir musnah sepenuhnya, dengan hanya tinggal beberapa bangunan yang rosak teruk.
“Sebagai sebahagian daripada operasi itu, IDF (Pasukan Pertahanan Israel) telah mencapai kawalan operasi penuh ke atas beberapa kawasan dan laluan utama di seluruh Gaza. Kira-kira 30 peratus daripada wilayah jalur itu kini ditetapkan sebagai Perimeter Keselamatan Operasi,” kata tentera dalam satu kenyataan.
Selain daripada “Koridor Morag,” Israel juga telah menubuhkan “Koridor Netzarim” semasa perang, zon penampan ketenteraan di tengah Gaza yang bertujuan untuk mengasingkan Bandar Gaza dan utara Gaza dari seluruh enklaf itu.
Israel telah menyekat kemasukan semua bantuan kemanusiaan ke Gaza sejak 2 Mac. Ia kemudian menamatkan gencatan senjata selama dua bulan dengan Hamas pada 18 Mac dan menyambung semula serangan udara dan darat yang membawa maut ke atas enklaf itu.
Tentera berkata sejak 18 Mac, ia telah melakukan serangan udara ke atas kira-kira 1,200 sasaran di Gaza menggunakan kira-kira 350 jet pejuang dan pesawat lain.
Serangan Israel yang diperbaharui setakat ini telah membunuh 1,652 rakyat Palestin dan mencederakan 4,391 yang lain, kata pihak berkuasa kesihatan Gaza pada hari Rabu, sambil menambah jumlah kematian di enklaf itu sejak perang bermula pada Oktober 2023 meningkat kepada 51,025, dengan 116,432 cedera.