Home Berita PAS Terengganu

Semua Pihak Harus Hormati Etika Pakaian Sopan Di Terengganu

10
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri menegaskan tidak pernah mengeluarkan arahan kepada orang bukan Islam untuk menutup aurat sebaliknya meminta mereka memahami dan menghormati etika berpakaian sopan yang diamalkan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Maliaman Kassim berkata, etika pemakaian yang digariskan kerajaan negeri itu hanya terpakai kepada orang Islam sahaja.

“Dalam acara sukan contohnya, sekiranya jurulatih bukan beragama Islam tetapi pemain Islam. Jadi jurulatih mesti menghormati etika pakaian yang telah digariskan oleh Kerajaan Terengganu.

“Kita paksa pemain muslim sahaja yang pemain bukan Islam ikut tatacara pemakaian sukan yang biasa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Terengganu Hijab Day 2025 di Laman Payang, Pasar Kedai Payang di sini, hari ini.

Katanya, pendekatan yang digunapakai sebenarnya lebih kepada mendidik orang Islam dan memberi kefahaman kepada orang bukan Islam supaya mereka bersama-sama memahami tanggungjawab masing-masing dalam aspek pemakaian sopan dan menutup aurat.

“Bagaimanapun bila ‘non muslim’ berpakaian kena jaga juga, jangan terlalu menjolok mata dan yang boleh menggangu ketenteraman awam,” ujarnya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai program Terengganu Hijab Day 2025 beliau berkata, kerajaan negeri terus memperkasakan usaha pendidikan pemakaian hijab yang sempurna kepada wanita Islam negeri ini.

“Antaranya menerusi usaha dakwah jalanan dengan mengedarkan risalah garis panduan pemakaian tutup aurat buat wanita.

“Sekiranya seseorang wanita itu Islam walaupun tidak bertudung, kita beri galakan kepada mereka untuk bertudung kerana itulah hasrat daripada kempen ini.

“Kita akan turut ke daerah-daerah untuk kempen ini, insyaAllah pada satu tahap kita akan capai 100 peratus wanita muslim di Terengganu yang berhijab,” ujarnya