KUALA TERENGGANU – Lebih 30 usahawan tempatan berpeluang meningkatkan ilmu perniagaan menerusi Seminar Usahawan MADANI: Pembangunan Produk dan Servis (SUM:PPS) anjuran Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), baru-baru ini.
Seminar sehari itu menekankan topik penting seperti teknik membangunkan produk dan servis, analisis pasaran, enam fasa pembangunan produk serta pengiraan kos.
Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Viviantie Sarjuni berkata, seminar tersebut bertujuan mengubah persepsi bahawa usahawan hanya perlu pandai menjual tanpa ilmu pembangunan produk.
“Tanpa pengetahuan yang betul, usahawan berisiko membazir masa, tenaga dan wang. Melalui SUM:PPS, kami membantu mereka menilai idea secara strategik dan objektif.
“Selain sesi teori, peserta turut mengikuti penilaian produk secara langsung bersama jurulatih dan pemain industri bagi mendapatkan maklum balas terus mengenai potensi pasaran,” ujarnya.
Program tersebut mendapat kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Sabasun HyperRuncit, KETENGAH, PERKESO, PERHEBAT dan beberapa pihak lain.
Majlis perasmian disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi & Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah INSKEN, Mustaffa Kamil Ayub.
Tambahnya lagi, setakat ini, SUM:PPS telah menarik lebih 4,000 peserta menerusi 10 siri seminar di seluruh negara.
“Bagi tahun ini, INSKEN menyasarkan 15 lokasi penganjuran untuk memberi manfaat kepada lebih ramai usahawan,” ujar beliau.