Home Berita PAS Terengganu

Sembilan Negara sertai Candat Sotong di Terengganu sempena Sail Malaysia

7
SHARE

MARANG – Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (Tourism Terengganu) berjaya menarik pelancong dari sembilan negara ke negeri tersebut melalui penganjuran Program Candat Sotong sempena Sail Malaysia: Passage to the East 2025 Yacht Rally yang berlangsung meriah, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, program berkenaan melibatkan penyertaan pelayar dari Amerika Syarikat, Kuwait, Thailand, Australia, Jerman, United Kingdom, Perancis, Afrika Selatan dan Filipina.

Menurutnya, program itu bukan sahaja memperkenalkan budaya tempatan, tetapi juga membantu mempromosikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan laut bertaraf dunia.

“Para pelayar diberi peluang merasai sendiri pengalaman mencandat sotong, satu aktiviti tradisional yang terkenal di Terengganu.

“Kami sangat berbesar hati menerima pelayar dari seluruh dunia. Diharap mereka dapat bawa pulang kenangan indah dan ceritakan keunikan Terengganu kepada orang lain,” jelasnya ketika ditemui dalam program yang diadakan di Pulau Kapas, semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) Hilmi Hajijan, Wakil Persatuan Pelancongan Perkapalan dan Marin Malaysia dan Selaku Pengasas Sail Malaysia, Sazli Kamal Basha dan Ketua Penolong Pengarah (KPP) Pembangunan, YM Raja Faisal Raja Harun.

Salah seorang peserta, Prof Khaled Karrai, Pesara Pensyarah dari University of Munich yang belayar dengan kapal layar SV NISMA, menyatakan beliau sangat teruja dengan pengalaman mencandat sotong dan memuji sambutan mesra rakyat tempatan.

“Saya berharap program seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang.

“Keindahan alam semula jadi, budaya unik dan pelbagai aktiviti laut menjadikan Terengganu terus dikenali sebagai destinasi pelancongan maritim pilihan pelancong dari seluruh dunia.