Home Berita PAS Terengganu

Selesai urus jenazah, Terengganu fokus bantu mangsa cedera

9
SHARE

BESUT – Berakhirnya urusan pengebumian jenazah mangsa-mangsa nahas kemalangan maut di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik dengan pengebumian dua jenazah terakhir, Nurul Izyanti Muhammad Azahar dan Nurul Fatihah Setaman hari ini, Kerajaan Terengganu kini fokus dalam menyalurkan bantuan bagi mangsa-mangsa yang tercedera.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Maliaman Kassim berkata, pihaknya sedang memperkemaskan maklumat untuk penyaluran bantuan tersebut.

“Malam ini (semalam) kita sudah berikan bantuan segera sebanyak RM1,000 seorang kepada YB masing-masing iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera (3 orang mangsa) ,Kuala Besut (1), Hulu Besut (5), Jerteh (1), Langkap (1) dan Jabi (4 mangsa). Itu untuk bantuan segera.

“Selepas ini, kita akan fokus kepada yang cedera. Kita banyak sumber sebenarnya, cuma belum tahu lagi mungkin dari JKM, universiti dan sebagainya.

“Setakat ini kita dapat maklumat yang kritikal ada seorang di Ipoh yang memerlukan pembedahan dengan kos sebanyak RM27,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan solat jenazah 13 mangsa terlibat di Masjid Hadhari Jerteh, awal pagi tadi.

Beliau memaklumkan akan meneliti kos berkenaan serta berunding dengan pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkaitan perkara itu.

“Kita juga akan tengok lagi bagi yang cedera dan meneliti lokasi mereka berada.

“Ini termasuk pemandu dan kelindan kerana mereka rakyat Terengganu juga.

“Setakat ini, saya telah berhubung dengan isteri pemandu dan dia maklumkan ada patah (cedera) tetapi tidak disahkan lagi tahapnya.

“Manakala, kelindan masih tidak pasti keadaannya,” katanya.