Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU – PAS Hulu Terengganu menekankan keperluan untuk memperkasakan aspek tarbiyah dalam parti dan menyelaraskan tindakan antara PAS sebagai parti politik serta kerajaan yang dipimpin.
Yang Dipertua PAS Kawasan Hulu Terengganu, YB Ustaz Maliaman Kassim berkata, usaha ini penting bagi memastikan segala program dan dasar yang dilaksanakan kerajaan selari dengan aspirasi parti, sekali gus memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan yang ada.
“Kita nak perkasakan tarbiyah dan menjadikan PAS sebagai parti yang dominan dalam pemikiran rakyat. Dalam masa yang sama, kita mahu wujudkan keharmonian dan keseragaman antara parti dan kerajaan,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Perpadian National negeri berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas pelancaran Portal Jodoh Darul Iman, di Damai Lounge U2, Wisma Darul Iman, pada Rabu.
Maliaman mengakui sebagai kerajaan baharu, penyelarasan antara dasar dan tindakan parti dengan kerajaan masih dalam proses penyesuaian.
“Kita mahu rakyat nampak bahawa program parti dan kerajaan selari. Bila kerajaan anjur program, itulah juga program parti ini cara untuk kita perkasakan parti dengan menggunakan kekuatan kerajaan,” jelasnya.
Sebagai YDP PAS yang kini memasuki penggal ketiga, beliau juga berkongsi pendekatan dalam menangani cabaran dalaman termasuk persaingan sesama ahli.
“Biasalah, ada pertandingan, tapi cuba bersikap adil dan tidak bermusuh. Kita perlu terapkan budaya bertanding secara sihat. Yang penting, wala’ kepada pimpinan yang dipilih tetap menjadi keutamaan,” katanya.
Menurut beliau, nilai tawaduk yang diamalkan dalam solat perlu diterapkan dalam budaya parti, terutama ketika berlaku pertandingan dalaman.
“Kalau kalah pun, kita tetap bersama. Kalah bukan alasan untuk tidak wala’ kepada pimpinan. Di sinilah latihan kerohanian kita diterjemah dalam perjuangan,” katanya.
Mengulas situasi pilihan raya, beliau berkata keyakinan rakyat terhadap PAS terbukti apabila parti itu berjaya membentuk kerajaan.
“Bila kita memerintah, rakyat dapat lihat hasilnya. Kita tak buat pembangunan mega, tapi kita buat yang rakyat boleh rasa.
“Contohnya, bayaran wad kelas tiga percuma, lesen motosikal percuma, pencen rakyat dan ini semua rakyat rasa secara langsung,” tambah Maliaman lagi.