Home Artikel PAS Selangor

Selangor PAS Youth (SPY) Corner | Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor – Menyingkap Semangat Dr Burhanuddin Al-Helmy

565
SHARE

Sosok besar ini pernah digelar ‘Bapak Kebangsaan Melayu’ oleh penulis Ahmad Boestamam. Malah, sejarah perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu tidak akan lengkap tanpa perjuangan golongan kiri yang di luar aliran utama sejarah kemerdekaan tanah air.

Almarhum ialah salah seorang tokoh. Walaupun tidak dicatatkan sejarah sumbangannya dalam rekod rasmi kemerdekaan negara ini, tetapi beliau dianggap sebagai pejuang kemerdekaan yang secara konsisten menentang penjajahan dan berjuang untuk penubuhan negara yang bersatu.

Falsafah itu diperjuangkannya melalui konsep Melayu Raya sebagai suatu cara bagi orang Melayu bersatu menjadi kuat dengan bergabung dengan semua keturunan Melayu Nusantara. Pandangan beliau itu dijelaskan dalam bukunya, Perjuangan Kita (1946) dan Falsafah Kebangsaan Melayu (1951).

Menyingkap latar belakangnya, Dr Burhanuddin atau nama penuhnya Amir Burhanuddin Ungku Muhammad Nor dilahirkan di Cangkat Tualang, Perak pada tahun 1911. Bapanya, Muhammad Nor berasal dari Batu Sangkar, Minangkabau, Sumatera, Indonesia dan ibunya pula seorang keturunan Arab. Pada awal pendidikannya, beliau belajar al-Quran dan agama di samping bersekolah Melayu.

Ketika mengikut ayahnya pulang ke kampung halaman di Sumatera, Dr Burhanuddin telah dihantar oleh ayahnya menuntut di Sekolah Agama Sungai Jambu, Sumatera Barat yang dibuka oleh rakannya, Syeikh Mohamad Khatib Minangkabau. Pendidikannya diteruskan di Tanah Melayu di Pondok Pulau Pisang, Jitra, Kedah dan Madrasah Al-Masyhur Al-Islamiah, Pulau Pinang.

Beliau seterusnya menerima biasiswa untuk melanjutkan pengajiannya dalam bidang sastera dan falsafah di Muhammadan Anglo-Indian College di Aligarh, India yang kemudiannya dikenali sebagai Aligarh Muslim University.

Selepas pengajiannya, Dr Burhanuddin bertugas sebagai seorang guru di Sekolah Arab Al-Juned, Singapura dan di sana beliau mempelajari ilmu perubatan homeopati daripada Dr Rajah. Kelulusan dalam bidang homeopati itu diperoleh selepas beliau lulus di Ismailiyah Medical College, Hyderabad, India.

Beliau juga dikatakan memperoleh kelulusan Doctor of Naturopathy daripada School of Naturopathy, London. Dengan kelayakan homeopati, beliau telah membuka klinik di Johor Bahru, Johor dan sebuah lagi di Jalan Picitan, Singapura.

Walaupun terdapat beberapa pendapat yang berbeza tentang ijazah manakah yang lebih dahulu diperoleh Dr Burhanuddin, namun semuanya bersetuju bahawa beliau memperoleh Ijazah Falsafah di Aligarh dan Ijazah Perubatan Homeopati di Ismailiyah Medical College.

Menentang imperialisme

Kesedaran terhadap perjuangan membebaskan watan dan bangsa daripada cengkaman penjajah sememangnya merupakan keutamaan pembabitan awal aktivisme politik Dr Burhanuddin.

Ketika belajar di Sumatera Barat, beliau dikatakan telah menerima pengaruh Sarekat Islam (Merah) melalui gurunya, Haji Nuruddin di samping aliran pemikiran Kaum Muda melalui guru-gurunya yang lain.

Sementara itu, di India, beliau telah mendekati pergerakan Mahatma Gandhi, Muhammad Ali Jinnah, Pandit Nehru dan pemimpin kemerdekaan India lain.

Selepas pengajian di India, Dr Burhanuddin mengembara ke Palestin dan Turki. Ketika berada di Palestin, beliau ditahan selama beberapa hari oleh British kerana terlibat dalam bantahan terhadap Perjanjian Balfour pada tahun 1936.

Menurut Abdul Majid Salleh, Dr Burhanuddin mempunyai bakat luar biasa. Selain bahasa Melayu, beliau fasih dalam tujuh bahasa, iaitu Arab (termasuk pelbagai loghat tempatan), Urdu, Belanda, Inggeris, Perancis dan Jerman.

Beliau juga dikenali sebagai ahli tafsir al-Quran dan hadis yang ulung serta mahir dalam sastera Arab. Kesemua pemerhatian, pengalaman dan penglibatan awalnya itu telah mencorakkan sikapnya terhadap penjajahan British di tanah air.

Fokus perjuangannya menentang imperialisme dan penindasan terhadap masyarakat Islam di dunia dan nusantara mengakibatkan beliau ditahan dan dipenjarakan sekali lagi.

Pada tahun 1937, beliau menerbitkan sebuah majalah, Taman Bahagia, yang mengutarakan nasib orang Palestin yang ditindas oleh tindakan British yang membentuk negara Israel. Sejam selepas majalah itu diterbitkan, beliau ditahan oleh pihak British, namun berjaya diikat jamin oleh seorang ahli keluarga al-Sagoff dengan bayaran sebanyak S$1,000 (RM3,074).

Perjuangan

Dr Burhanuddin didapati bersalah oleh Mahkamah Singapura dan dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan. Pemenjaraan itu menunjukkan pengaruh besar penulisan dan penerbitan Dr Burhanuddin dalam menyuburkan semangat kemerdekaan dan anti-British dalam kalangan masyarakat tanah air.

Penyertaan awal Dr Burhanuddin dalam gerakan politik tanah air adalah melalui Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang diterajui oleh Ibrahim Haji Yaacob pada tahun 1939. Sebagai ahli biasa pada peringkat awalnya, Dr Burhanuddin tidak terlibat dengan perancangan dan gerakan KMM yang jelas menentang British dan telah mengakibatkan sejumlah 130 orang pengikut dan pemimpin KMM ditahan oleh British di Singapura.

Setelah Jepun berjaya menduduki Tanah Melayu termasuk Singapura, tahanan KMM itu dilepaskan oleh Jepun berikutan kerjasama antara KMM dengan Jepun. Semasa pendudukan Jepun, Dr Burhanuddin dilantik sebagai Penasihat Adat Istiadat dan Kebudayaan Melayu di Markas Tentera Jepun, Taiping, Perak. Pelantikan itu dikatakan kerana keanggotaannya dalam KMM, hubungan baiknya dengan Ibrahim Haji Yaacob dan pengetahuan agamanya yang baik.

Dr Burhanuddin memainkan peranan besar dalam mengumpulkan ulama dari seluruh Tanah Melayu dan Sumatera. Semasa pentadbiran Jepun, Dr Burhanuddin menjayakan Persidangan Ulama Malai-Sumatera di Singapura pada tahun 1943 yang dianjurkan melalui Senden-Bu (Jabatan Propaganda Jepun).

Antara ulama yang turut hadir termasuklah Buya Hamka (Kesultanan Deli), Tengku Yafizham (Serdang), Sheikh Abdullah Afifuddin (Langkat), Tengku Daud Beurueh, Teungku Muhammad Hasbi dan Tuanku Abdul Aziz (Acheh), AHA Mun’im, Haji Abdul Aziz dan Marah Bagindo (Tapanuli), KH Chik Wan (Palembang), KH Nawawi dan Taha (Lampong), Sheikh Ibrahim Musa, Sheikh Sulaiman Rasuli, AR St. Mansor, Sirajuddin Abbas dan Mahmud Yunus (Sumatera Barat), Haji Ali (Singapura) dan wakil kerajaan Tanah Melayu termasuk Sheikh Tahir Jalaluddin.

Atas cadangan Dr Burhanuddin kepada pentadbiran Jepun, satu Persidangan Majlis Agama Se-Malaya telah diadakan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak pada tahun berikutnya. Ia dihadiri wakil Majlis Agama Negeri, ulama, mufti dan wakil institut pengajian Islam dari seluruh Tanah Melayu. Hasil persidangan itu, Majlis Agama Serantau ditubuhkan untuk mentadbir hal ehwal umat Islam.

Namun begitu, perancangan Dr Burhanuddin untuk mengadakan persidangan kedua Majlis Agama Se-Malaya pada tahun 1945 telah dibatalkan oleh Jepun yang risau terhadap kesan majlis dan persidangan itu dalam menghidupkan semangat kemerdekaan dalam kalangan orang Islam di Tanah Melayu.

Perisytiharan kemerdekaan

Dr Burhanuddin juga telah memimpin Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) pada tahun 1945 atas arahan Ibrahim Haji Yaacob. KRIS berhasrat menubuhkan negara merdeka yang dinamakan Malaya Demokratik Rakyat dengan perisytiharan kemerdekaan bersama Indonesia.

Berikutan tindakan mengejut Jepun menyerah kalah beberapa hari sebelum perisytiharan kemerdekaan yang dirancang itu, Dr Burhanuddin telah muncul sebagai tokoh pejuang Tanah Melayu yang penting selepas peristiwa tersebut. Ibrahim Haji Yaacob yang sebelum itu merupakan pemimpin utama KMM dan KRIS telah melarikan diri dari Tanah Melayu ke Indonesia.

Melayu Raya atau Indonesia Raya merupakan gagasan untuk menubuhkan negara merdeka yang menggabungkan Tanah Melayu dan Indonesia. Satu persetujuan dikatakan tercapai di Taiping antara Dr Burhanuddin Al-Helmy dan Ibrahim Haji Yaacob dengan Soekarno dan Muhammad Hatta agar kemerdekaan diisytiharkan serentak di Tanah Melayu dan Indonesia pada 17 Ogos 1945.

Bagaimanapun, tindakan Jepun yang menyerah kalah secara mengejut semasa Perang Dunia Kedua pada 14 Ogos 1945 ekoran pengeboman Hiroshima dan Nagasaki telah membantutkan hasrat perisytiharan kemerdekaan itu.

Soekarno tetap mengisytiharkan kemerdekaan Indonesia dari Belanda pada tarikh yang dipersetujui, tetapi Dr Burhanuddin tidak membuat demikian akibat perkembangan politik dan pertimbangan yang lain di Tanah Melayu.

Perjuangan politik Dr Burhanuddin Al-Helmy lebih menonjol selepas penaklukan Jepun ketika memimpin Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).

Dr Burhanuddin memimpin PKMM selama lebih daripada dua tahun mulai awal tahun 1946 sehingga dibubarkan British pada tahun1948 setelah darurat diisytihar. Sayap pemudanya, Angkatan Pemuda Insaf (API) dipimpin Ahmad Boestamam sementara sayap wanitanya, Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dipimpin Aishah Ghani diikuti Shamsiah Fakeh.

Terdapat beberapa sayap lain, termasuk Barisan Tani SeMalaya (BATAS) yang dipimpin Musa Ahmad dan badan ulamanya, Hizbul Muslimin (Hamim), yang menggantikan Majlis Tertinggi Agama (MATA). Hamim dipimpin oleh Ustaz Abu Bakar Albakir, mudir Ma’ahad Ehya Asharif, Gunung Semanggol, Perak.

Mulai tahun 1947, PKMM memimpin gabungan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA), yang bekerjasama dengan All-Malayan Council of Joint Action (AMCJA) yang dipengerusikan Tan Cheng Lock, dengan sokongan kuat Malayan Democratic Union (MDU).

PUTERA-AMCJA merupakan barisan bersatu berbilang kaum pertama di Malaysia yang dipengerusikan bersama oleh Dr Burhanuddin dan Tan Cheng Lock. Walaupun perjuangannya dalam PKMM membela bangsa Melayu, namun jelas melalui penulisan Dr Burhanuddin dalam buku Falsafah Kebangsaan Melayu bahawa pengertian kebangsaan Melayu mencakupi makna yang lebih luas.

Katanya: “Kebangsaan Melayu bukan dibina semata-mata kerana seseorang itu bangsa Melayu atau bapanya Melayu, datuknya Melayu, tetapi kebangsaan Melayu itu adalah diasaskan dan dibinakan di atas kebangsaan Melayu iaitu kebangsaan yang mengikut tabiat semula jadi kedudukan bumi, keturunan pusaka, kebudayaan baka dan penduduk hak mutlak bumi pertiwi ini. Yang bersatu hasrat pada azamnya, bersatu padu dalam ideologi kebangsaannya.

Pendirian politik Dr Burhanuddin dijelaskan lagi dalam buku Falsafah Kebangsaan Melayu: “Perjuangan kita memilih jalan yang sederhana dan di tengah-tengah yang saya sebutkan selalu dengan Kebangsaan Yang Bulat. Kita menentang penjajahan tetapi tidak pula pro-Komunis. Kita mahu balik hak keadilan tanah air kita dan kebangsaan kita dan kebangsaan kita yang berdaulat, sebagaimana kita belum dipengaruhi dan dijajah dahulu.”

Salah satu pendirian PKMM yang menarik perhatian ialah sikapnya terhadap gagasan Malayan Union yang dicadangkan British pada tahun 1946. Malayan Union selari dengan hasrat perjuangan PKMM untuk menyatukan Tanah Melayu, mewujudkan sebuah negara Melayu yang besar dan sebuah bangsa Melayu yang agung dan bersatu di seluruh Tanah Malaya.

Apabila Kertas Putih Malayan Union diisytiharkan pada Januari 1946, walaupun PKMM berpandangan bahawa tidak sesuai bagi negeri-negeri dan wilayah di Tanah Melayu terus kekal sebagai entiti politik dengan pentadbiran yang berasingan, PKMM tetap tegas memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu.

Pendirian PKMM itu akhirnya membawa kepada penolakan Kertas Putih Malayan Union atas beberapa alasan.

Dr Burhanuddin kemudian telah ditahan pada tahun 1950 ekoran Peristiwa Natrah (Maria Hertogh) di Singapura. Mahkamah Tinggi Singapura telah menolak kesahihan perkahwinan Natrah dengan Mansur Adabi dan seterusnya, memerintahkan Natrah dikembalikan kepada keluarga asalnya. Ia telah mencetuskan bantahan besar-besaran dalam kalangan masyarakat Islam.

Dr Burhanuddin telah memainkan peranan yang besar, khususnya melalui Jawatankuasa Tindakan Perkara Natrah yang telah memobilisasikan puluhan ribu orang Islam untuk menunjuk perasaan membantah keputusan itu. British menganggap bantahan itu menggugat kestabilan politik. Akibatnya, Dr Burhanuddin bersama pimpinan PKMM lain ditahan di bawah Undang-Undang Darurat Singapura.

Tokoh politik lepas perang

Selepas PKMM dibubarkan pada tahun 1948 atas tekanan pentadbiran British ekoran perisytiharan Darurat, Dr Burhanuddin Al-Helmy terlibat pula dalam penubuhan Partai Rakyat Malaya (PRM). Peranan Dr Burhanuddin pada peringkat awal penubuhan PRM sangat besar walaupun bukan beliau sendiri yang memimpin parti.

Bahkan, Dr Burhanuddin sendiri telah mencadangkan supaya Ahmad Boestamam untuk mengetuai parti tersebut walaupun Boestamam baharu sahaja dibebaskan selepas tahanan selama tujuh tahun di bawah Undang-Undang Darurat dengan pelbagai syarat dan sekatan dikenakan.

Pengaruh Dr Burhanuddin amat penting dalam siri jelajahnya ke seluruh Malaya bagi meyakinkan dan mendapatkan sokongan terhadap penubuhan parti baharu itu. Ketokohan beliau sememangnya amat terserlah memandangkan sumbangan dan kesan perjuangannya untuk kemerdekaan tanah air. Dr Burhanuddin dianggap sebagai sebahagian daripada ‘orang kita’ dalam gerakan perjuangan kiri pada ketika itu.

Latar belakang agamanya yang kuat juga menjadikannya turut dianggap sebagai tokoh Islam yang utama. Penerimaannya terbukti apabila Dr Burhanuddin dipelawa untuk memimpin Parti Islam SeMalaya (PAS) pada tahun 1956 bagi menggantikan Dr Abbas Alias yang tidak dapat bergerak dengan berkesan atas kekangannya sebagai seorang pegawai perubatan kerajaan. Ketika itu, Dr Burhanuddin tidak menganggotai mana-mana parti politik walaupun terlibat rapat dengan PRM ketika penubuhannya.

Boestamam pernah menceritakan bagaimana Dr Burhanuddin telah datang meminta pandangan rakan-rakannya dalam Partai Rakyat Malaya terhadap pelawaan yang telah diterimanya untuk memimpin PAS. Walaupun berat menerimanya pada awalnya, Dr Burhanuddin menerima permintaan PAS untuk ‘memasukkan jiwa kiri kepada PAS’ demi menjadikan PAS gerakan Islam yang progresif.

Tujuan itu akhirnya disokong dan diberi restu oleh Boestamam dan rakan-rakan Partai Rakyat Malaya dengan kesedaran bahawa ‘lawan’ mereka akan berkurangan sekiranya PAS diterajui oleh Dr Burhanuddin, sepertimana jawapan Dr Burhanuddin: “Kalau saya hendak membawa PAS bermusuhan dengan Partai Rakyat Malaya, saya tidak datang ke sini pada hari ini untuk meminta fikiran dan restu saudara-saudara.”

Pada tahun 1959, pada pilihan raya pertama Persekutuan Tanah Melayu, Dr Burhanuddin berjaya memenangi kerusi parlimen Besut, Terengganu, bersama calon PAS yang lain iaitu Haji Hassan Adli (Kuala Terengganu Utara), Khadijah Sidik (Dungun) dan Harun Pilus (Terengganu Tengah) di samping Dato’ Onn Jaafar yang mewakili Parti Negara di kerusi Kuala Terengganu Selatan dan rakannya, Ahmad Boestamam di kerusi Setapak.

Kedudukannya selaku Ahli Parlimen terbatal setelah didenda RM25,000 oleh mahkamah atas tuduhan melakukan kesalahan teknikal dalam urusan syarikat perniagaan. Namun, sepanjang penggal pertama sebagai Ahli Parlimen, Dr Burhanuddin bersama-sama Ahli Parlimen pembangkang lain telah memainkan peranan aktif dan berkesan terhadap kerajaan Perikatan ketika itu.

Salah satunya ialah cadangan penubuhan Malaysia yang kuat ditentang oleh Dr Burhanuddin. Pendirian beliau terhadap konsep Melayu Raya masih kuat dan oleh itu, beliau terus membantah penubuhan Malaysia untuk mengambil alih semua tanah di Asia Tenggara yang dikuasai British.

Katanya: “Melayu Raya mengandungi 11 buah negeri dalam Semenanjung Tanah Melayu, Singapura, Brunei, Borneo Utara dan Sarawak dan negeri Republik Indonesia dan Filipina serta Gugusan Pulau-pulau Melayu yang lain dan menuntut supaya kerajaan berusaha pada menjalankan langkah-langkah untuk mencapai tujuan ini dan sebanyak mana telah dijalankan langkah itu akan dimaklumkan kepada Majlis ini oleh Yang Berhormat Perdana Menteri dari satu masa ke satu masa.”

Kerajaan buangan

Menurut memoir Abdul Majid Salleh, Dr Burhanuddin digelar Profesor oleh Universitas Gadjah Mada, Jogjakarta, Indonesia. Beliau telah dituduh terlibat membantu Indonesia dalam usaha menubuhkan kerajaan buangan di Indonesia. Penubuhan Malaysia pada tahun 1963 ditentang hebat Indonesia melalui kempen Ganyang Malaysianya turut memberi kesan kepada Dr Burhanuddin.

Beliau yang konsisten dengan idea penyatuan negeri-negeri yang lebih besar melalui Melayu Raya telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1965. Penahanan beliau kali ini menyebabkan kesihatannya merosot. Sepanjang penahanannya, beliau kerap dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan. Akhirnya, pada tahun 1969, kerajaan telah membebaskannya tanpa syarat setelah kesihatannya semakin merosot.

Coretan akhir Ahmad Boestamam tentang Dr Burhanuddin bertajuk Doktor Burhanuddin: Pembawa Obor Chita2 Kemerdekaan Bapak Kebangsaan Melayu Putera Setia ‘Melayu Raya’ semacam tanda penghargaan, penghormatan dan persahabatannya terhadap Dr Burhanuddin ketika menerima berita pemergian Dr Burhanuddin menghadap Ilahi pada 10 Oktober 1969, iaitu kira-kira sebulan selepas beliau dibebaskan daripada tahanan ISA.

“Di atas segala-galanya Dr Burhanuddin Al-Hilmy adalah seorang patriot. Dan kalau kepada beliau hendak diberikan suatu gelaran maka gelaran yang tepat, layak, sesuai dan hak sekali bagi beliau ialah Bapak Kebangsaan Melayu.

“Serangkap madah beliau yang pasti tidak akan dilupakan oleh setiap patriot tanah air, iaitu madah yang dihamburkan beliau dalam Kongres Partai Kebangsaan Melayu Malaya di Melaka dulu sebagai sifatnya beliau Yang Dipertua Agungnya, berbunyi:

Diatas robohan Kota Melaka,
Kita dirikan jiwa merdeka,
Bersatu padulah segenap baka,
Membela hak keadilan pesaka.

“Hak keadilan pesaka yang beliau maksudkan itu tidaklah lain daripada kemerdekaan.

“Pada ketika itu beliau dipersenda-sendakan orang kecuali orang yang menjadi pengikut beliau yang setia cita-cita dan seperjuangan menurut istilah sakti yang sering beliau pergunakan.

“Orang-orang yang mempersenda-sendakan beliau ini berkata: Membuat sebilah jarum pun tak tahu, hendak merdeka konon.

“Akhirnya bukankah beliau terbukti benar?”

Artikel Asal: https://www.sinarharian.com.my/article/53964/LIFESTYLE/Sinar-Islam/Menyingkap-semangat-Dr-Burhanuddin

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemimpinPerpaduan
#MediaPASSelangor