Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Selamat Tahun Baru 2018; Tanamkan Tekad Teruskan Langkah

245 views
SHARE

Selamat Tahun Baru 2018
Tanamkan Tekad, Teruskan Langkah.

‎وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَانِ إِلَّا مَا سَعَى -٣٩- وَأَنَّ سَعْيَهُ سَوْفَ يُرَى -٤٠- ثُمَّ يُجْزَاهُ الْجَزَاء الْأَوْفَى -٤١-
“Dan bahawa manusia hanya memperoleh apa yang telah diusahakannya, dan sesungguhnya usahanya itu kelak akan diperlihatkan (kepadanya), kemudian akan diberi balasan kepadanya dengan balasan yang paling sempurna.” (Surah An-Najm 39-41)

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Alhamdulillah, marilah sama-sama panjatkan rasa kesyukuran atas segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. Nikmat hidup dalam Islam, nikmat Iman, nikmat kesihatan, nikmat kehidupan yang telah dilimpahkan oleh Maha Esa tidak terkira lagi terhitung.

Kami daripada seluruh saff kepimpinan Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengucapkan Selamat Tahun Baru 2018 kepada seluruh rakyat Malaysia tidak kira walau di mana jua pun.

Tahun lalu jadikan penilaian hidup. Segala apa yang telah berlalu pasti ada hikmah besar yang telah ditentukan olehNya. Sesungguhnya kita hanya mampu merancang, Allah yang Maha Pencatur atas segala ketentuan takdir ilahi.

Detik berlalu, hari silih berganti, masa yang berlalu pergi adalah sejarah dan kenangan yang ditinggalkan. Tahun ini kita jadikan sebagai kayu ukur dan mengambil segala ibrah. Manakala tahun baharu yang bakal menjengah 2018 pasakkan sebagai titik permulaan transisi diri kita untuk terus melangkah dengan apa yang telah dirancang serta terus kita perjuangkan untuk mencari kejayaan di dunia dan di akhirat.

Ayuh kita semua! Lengkapkan diri dengan ilmu dan hiasi peribadi dengan akhlak yang terpuji. Semarakkan budaya matang dan sejahtera dalam segala bidang, sentiasa berpandukan al quran dan syariah terus diperkasa dan diperteguhkan agar hidup kekal harmoni dan masyarakat terus bermuafakat tanpa mengenal bangsa dan agama.

‎اُدْعُ إِلَى سَبِيْلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِيْ هِيَ أَحْسَنُ
Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.” (Surah An-Nahl, 16: 125)

Akhir kalam, letakkan posisi anda di koordinat yang tepat. Teruslah meneroka peluang dan harungi segala rintangan dengan tenang dan tabah. Tanamkan tekad, teruskan langkah. Jadilah umat Islam yang hebat dan unggul yang dapat memberi manfaat dan memberi makna yang berharga buat ummah, insyaallah. Bersama membina negara yang lebih baik! Semoga tahun baru ini bakal mencipta sejarah terindah!

“Sejahtera Bersama Islam”

“Muslimat Memacu Kemenangan”

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
12 Rabiul Akhir 1439H
31 Disember 2017