Selangor PAS Youth (SPY) Corner | Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
Oleh : Zurk Ahmad
Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Kawasan Hulu Langat
Pengumuman YB Menteri Kesihatan baru-baru ini bahawa negara kita dijangka akan beralih fasa endemik dalam tempoh dua bulan lagi selepas kita berjaya mencapai imuniti kelompok telah menimbulkan pelbagai reaksi semua pihak. Ramai yang memberikan maklum balas positif dan tidak kurang juga yang negatif.
Apapun reaksi, kita semua perlu menerima hakikat bahawa kita akan hidup bersama virus COVID-19 ini sampai bila-bila. Sama seperti kita hidup bersama virus-virus endemik yang lain termasuk denggi, yang kini seolah ancaman biasa walaupun statistik pada tahun 2020 menunjukkan sebanyak 90,304 kes dengan angka kematian sebanyak 145 kes.
Mungkin sudah ramai yang mula memahami apa yang dimaksudkan dengan pandemik dan endemik dalam situasi penularan COVID-19 ini.
Dalam bidang kesihatan awam dan penyebaran penyakit berjangkit, terdapat tiga istilah yang perlu difahami iaitu EPIDEMIK, PANDEMIK dan ENDEMIK.
EPIDEMIK
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) menggambarkan “epidemik” sebagai peningkatan yang tidak dijangka dalam jumlah kes penyakit di kawasan geografi tertentu. Demam kuning, cacar, campak, dan polio adalah contoh utama epidemik yang berlaku sepanjang sejarah Amerika. Perlu difahami epidemik tidak semestinya menular. Sebagai contoh, demam Nil Barat dan peningkatan kadar obesiti yang cepat juga dianggap sebagai epidemik.
Dengan kata lain, epidemik boleh merujuk kepada penyakit atau perilaku yang berkaitan dengan kesihatan tertentu dengan kadar yang jelas di atas jangkaan kejadian dalam komuniti atau wilayah tersebut.
PANDEMIK
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan mengklasifikasikan “pandemik” apabila sesuatu penyakit itu berkembang dengan kadar pertumbuhan yang sangat pantas dan setiap hari kes bertambah lebih banyak dari hari sebelumnya secara global.
Apabila sesuatu virus menular dengan cepat ia memerlukan kerjasama global untuk sama-sama menanganinya. Ini bermaksud virus ini meliputi kawasan yang luas, yang mempengaruhi beberapa negara dan populasi. Dan yang paling menakutkan, ia sangat sukar untuk dikawal!
ENDEMIK
Endemik adalah wabak penyakit yang berlaku secara konsisten tetapi terhad pada kawasan tertentu. Ini menjadikan sesuatu penyakit merebak dalam pola tertentu dan kadarnya dapat diramal. Cara pengawalan juga memainkan peranan dalam mengekalkan sesuatu wabak sebagai endemik. Contoh mudah adalah kekebalan imuniti kelompok.
Malaria, misalnya, dianggap sebagai endemik di negara dan wilayah tertentu.
APA PERBEZAAN ANTARA PANDEMIK DAN EPIDEMIK?
WHO mendefinisikan pandemik, epidemik, dan endemik berdasarkan kadar penyebaran penyakit. Oleh itu, perbezaan antara epidemik dan pandemik bukan pada keparahan penyakit, tetapi sejauh mana penyebarannya.
Pandemik melintasi sempadan antarabangsa, berbanding epidemik atau wabak serantau. Jangkauan geografi yang luas inilah yang menjadikan pandemik penyebab kepada gangguan sosial, kerugian ekonomi, dan kesulitan umum secara besar-besaran.
Jangkaan bahawa COVID-19 akan menjadi endemik pada dasarnya bermaksud bahawa ancaman wabak ini tidak akan berakhir dan virus ini tidak dapat dihapuskan. Mungkin sampai bila-bila!
Namun begitu, terdapat pandangan optimis bahawa virus ini akan terus menjangkiti manusia tetapi kesannya akan berkurangan sejajar dengan proses kekebalan tubuh melalui vaksinasi. Keperluan hospitalisasi dan angka kematian juga dijangka akan berkurangan dalam fasa tersebut.
Pola penyebaran COVID-19 dan proses vaksinasi serta imuniti kelompok memainkan peranan utama dalam menentukan pergerakan jangka masa peralihan pandemik kepada endemik. Hal ini sukar untuk ditentukan dengan tepat.
Ia bergantung pada faktor-faktor seperti kekuatan dan jangka masa perlindungan imun dari vaksinasi dan jangkitan semula jadi, corak hubungan kita antara satu sama lain yang memungkinkan penyebaran, dan penularan virus.
Oleh itu, coraknya mungkin akan jauh berbeza dengan pandemik lain kerana tindak balas yang heterogen terhadap COVID-19 di seluruh dunia, dengan beberapa tempat terlibat dalam dasar “zero-COVID”. Antara faktor lain adalah dengan respon yang terhad dan ketersediaan vaksin yang berubah-ubah serta faktor dos pengambilan.
Apapun, fasa endemik bukan bermaksud kita perlu mengabaikan terus risiko jangkitan COVID-19 ini.
Kita masih perlu menjaga kesihatan diri serta mematuhi arahan serta SOP yang diumumkan oleh pihak berkuasa dari masa ke semasa.
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ
“Ya Allah aku berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk”
“Semoga kita semua terus dilindungi dan dipelihara oleh Allah SWT”
Rujukan:
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor