Home Berita PAS Terengganu

Selamat datang Dayangku Intan Ke dalam keluarga besar PAS

903
SHARE

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

Musim hujan juga banjir yang membadai, diiringi dengan euforia rawan sebahagian rakyat negara ini melihat kecacamarbaan penguasa yang baru dilantik. Kerajaan campuran PHBN yang sedang digodam anak muda dimedia sosial menjadi kerajaan terburuk yang pernah dimiliki oleh tanahair ini. Dalam kegawatan ini, PAS yang terus menyinar dan tak lelah menabur bakti pada rakyat sebelum dan selepas PRU telah menjadi tarikan kepada YM Dayangku Intan Binti Tengku Abdul Hamid . Anak seni yang terkenal dalam dekad 80an ini telah menyertai PAS secara rasmi di Seremban minggu ini.

Dayangku Intan yang pernah mencuat namanya dalam industri seni dengan lagu ” semakin rindu semakin sayang”, ” Senandung hariraya untukmu” serta lain-lain lagu. Beliau yang menyertai parti kelahiran reformasi pada tahun 2013 telah bertanding di Parlimen Pengerang Johor . Pada tahun 2018 ,Dayangku Intan telah meninggalkan PKR setelah melihat parti itu tak mempunyai halatuju yang menyakinkan nuraninya. Anak seni ini akhirnya memilih PAS, setelah membuat pemerhatian dan kajian akan karektor parti Islam tertua negara ini yang jelas halatuju,dasar, memegang teguh tali prinsip perjuangannya.

Penyertaan Dayangku Intan ke dalam PAS pastinya akan memeriahkan penglibatan anak-anak seni untuk bersama PAS kerana harakatul ummah ini tidak pernah meminggirkan aspek kesenian dan kebudayaan. Anak-anak seni, karyawan dan budayawan meminati PAS biasanya dengan harapan untuk menimba ilmu dan tertarik dengan budaya dalaman PAS yang jauh berbeda dengan parti konvensional lain.

PAS tidak menolak hiburan dan kesenian selagi mana ianya patuh syariah, tidak menjurus kepada dosa serta “lagho”. Berhibur tanpa batasan akan menjadikan kita hilang nikmat beribadah. Apatah lagi hiburan yang tidak patuh syariah dan tidak disiram ketaatan kepada Allah. Hiburan bersalut dosa menjadikan hati kita hitam, menjadi sulit untuk melakukan kebaikan. Berakar daripada kerancuan berfikir dalam beragama maka tak sedikit umat Islam menjadi liberal dan menjunjung nilai pragmatisme.

Seni dan hiburan diakui keabsahannya mendidik manusia, bahkan merupakan salah satu daripada method dakwah yang digunakan oleh para ulamak dalam mengembangkan dakwah Islam. Di Nusantara, ketika Islam mulai berkembang terutama sejak abad ke-13 Masehi, para ulamak telah mengggunakan pelbagai pendekatan seperti perkahwinan, penubuhan kerajaan Islam, pedagangan dan sebagainya sebagai method dakwah. Untuk melengkapkan lagi gerakan dakwah, sebahagian ulamak di Nusantara menjadikan seni dan hiburan ini sebagai method dakwah mereka. Antaranya seperti dakwah wali Songo dalam masyarakat Jawa, merubah medium seni sebagai wahana dakwah yang interaktif.

Sepanjang sejarah perkembangan dakwah, para ulamak telah menggunakan seni suara (muzik), wayang kulit, seni ukir, seni bina, penulisan sastera, seni mempertahankan diri dan beberapa kesenian yang lain sebagai sebahagian daripada pendekatan. Salah satu faktor kepentingan dakwah melalui seni juga berjaya merengkuh perhatian manusia dengan seni yang berkiblat. Kita semua sewajarnya membuat penelitian terhadap hiburan yang tidak menjuruskan anak muda kepada “sensate culture”, budaya hiburan kosong yang melalaikan dan merencatkan intelektual.

Kemasukan Dayangku Intan ke dalam PAS, pastinya akan memeriahkan usaha dakwah melalui kesenian dan hiburan patuh syariah. Jika sebelum ini, PAS telah memiliki pengarah drama dan filem seperti Murali Abdullah, Adam Hamid, pelakon serta pengkarya seperti arwah Bob Lokman, pemuzik serta penyanyi seperti Zuar XPDC, Man John, ratusan penggiat genre nasyid tanahair.

Masyarakat muslim perlukan vitamin intelektual dan hiburan patuh syariah yang membina peradaban. Entahlah, mungkin rasa bosan terkurung menjadikan kita kecanduan berhibur atau kita menyalahi catatan taqdir. Kecanduan melampau pada hiburan serta ghazwatul fikri yang dilancarkan oleh musuh Islam untuk merosakkan belia dan anak muda. Semoga kehadiran Dayangku Intan 56 tahun, anak kelahiran Kuala Lumpur ini mampu menjadi aset kepada PAS sebagai gerakan Islam yang telah menjadi pemenang utama PRU 15 baru – baru ini dan memimpin empat buah negeri jantung hati orang Melayu negara ini.

Beliau boleh menjadi penghibur dalam program muslimah, berada dipentas wacana seni serta menjadi tarikan pesona untuk pelbagai kelompok wanita untuk dijelaskan bahawa parti pak lebai ini bukanlah anti sosial dan konservatif karektornya. PAS terbuka untuk semua insan termasuk bukan Islam untuk menikmati cahaya kedamaian nurani dan ramai anak seni mengakui diri mereka memperolehi banyak manfaat ukhrawi apabila istiqomah mengikuti program- program PAS .

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)