Home Berita PAS Terengganu

Selain Surau, KMI Tawar ‘Silent Room’ Buat Agama Lain

2
SHARE

KUALA TERENGGANU – Pelancaran Hospital Mesra Ibadah (HMI) di bawah rangkaian TDM Berhad melalui anak syarikatnya, KMI Healthcare, menjadi mercu tanda baharu dalam sektor kesihatan apabila menggabungkan rawatan moden dengan pendekatan berteraskan Maqasid Syariah serta rahmatan lil ‘alamin.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, HMI bukan sahaja memberi kemudahan ibadah kepada pesakit Muslim, malah turut menyediakan silent room bagi penganut agama lain menunaikan amalan keagamaan masing-masing.

“Apabila pesakit diberi ruang untuk menunaikan ibadah dengan selesa, ia bukan sahaja mempercepat proses pemulihan, malah memberi ketenangan jiwa kepada pesakit dan keluarga mereka.

“Alhamdulillah, hospital ini menyediakan ruang senyap (silent room) dan kemudahan khas bagi penganut agama lain menunaikan amalan keagamaan mengikut kepercayaan masing-masing. Ia selari dengan prinsip Islam sebagai rahmat untuk seluruh alam,” jelasnya ketika merasmikan pelancaran HMI di KMI Kuala Terengganu Medical Centre, semalam.

Menurutnya, pendekatan tersebut membuktikan bahawa perkhidmatan kesihatan boleh digerakkan seiring dengan nilai Islam tanpa mengetepikan kepelbagaian kepercayaan, sekali gus menampilkan konsep inklusif yang wajar dicontohi.

“Hospital Mesra Ibadah ini bukan sahaja menyembuhkan tubuh dan menenangkan jiwa, tetapi juga menghormati semua agama. Usaha mempertingkatkan HMI ke peringkat lebih sempurna iaitu Hospital Patuh Syariah juga perlu dilakukan segera,” katanya.

Beliau turut menyeru warga kerja KMI Healthcare mengekalkan profesionalisme, mengutamakan kebajikan pesakit serta memupuk budaya kerja yang mesra, penyayang dan berintegriti.

“Semoga hospital ini menjadi rujukan kepada seluruh negara dalam memperluas perkhidmatan kesihatan berteraskan rahmatan lil ‘alamin, di samping menyediakan rawatan yang mendekatkan manusia kepada Allah SWT,” tambah beliau.