Home Berita PAS Terengganu

Sekolah Menengah Agama Terengganu Catat Prestasi Cemerlang

1
SHARE

KUALA TERENGGANU – Sekolah-sekolah di bawah rangkaian Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu (SMANT) terus mencatat prestasi cemerlang dalam peperiksaan SPM dan STPM 2024, sekali gus menegaskan keberkesanan sistem pendidikan agama negeri serta komitmen berterusan guru dan pelajar.

Antara sekolah yang menonjol ialah Maahad Tahfiz Al-Quran Terengganu dan SMIDI Hulu Terengganu, yang masing-masing menerima Anugerah Peratusan Lulus Semua Mata Pelajaran SPM 2024, membuktikan disiplin tinggi pelajar dan keberkesanan pentadbiran sekolah.

SMA Maarif pula menyerlah dengan peningkatan Gred Purata Sekolah (GPS) 0.93 dan Pencapaian Terbaik Kebangsaan STPM 2024, manakala SMIDI Kuala Nerus mencatat peningkatan GPS 1.06, dan SMIDI Hulu Terengganu merekodkan peningkatan GPS tertinggi 1.99, menjadikan sekolah ini antara yang paling menonjol dalam kelompok SMANT.

Setiap sekolah berprestasi menerima sijil penghargaan, cek cura dan wang tunai RM1,000 sebagai dorongan untuk terus memacu kecemerlangan.