KEMAMAN, 28 Februari – Seramai 82 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Putih dipindahkan selepas sekolah tersebut dinaiki air, sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, pemindahan pelajar tersebut dibantu pihak polis kira-kira 1 tengah hari ini menggunakan dua buah lori ke SMK Cheneh Baru, kira-kira 23 kilometer dari sekolah berkenaan.
Jelasnya, meskipun hanya 39 orang pelajar terlibat tinggal di asrama, namun kesemua calon yang tinggal di rumah turut dipindahkan berikutan laluan ke sekolah berkenaan turut dinaiki air.
“Mesyuarat Pusat Kawalan Operasi Bencana pada pagi ini memutuskan supaya calon SPM ini dipindahkan ke sekolah lain yang tidak terjejas banjir memandangkan sekolah tersebut dinaiki air kira-kira dua meter.
“Buat sementara ini, kesemua 82 pelajar tingkatan lima sekolah tersebut akan menduduki SPM bersama 77 pelajar SMK Cheneh Baru,” katanya kepada media hari ini.
Usaha tersebut dilakukan bagi memastikan keselamatan pelajar dalam situasi luar jangka berikutan banjir yang berlaku.