Home Berita PAS Terengganu

Sekatan Dr. Sam : Hentikan intimidasi politik terhadap lawan – Tok Li

21
SHARE

KUALA TERENGGANU – Rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik diminta untuk melihat isu dakwaan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dilabel sebagai individu di bawah kawalan TCO dengan adil dan berperikemanusiaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, Ahmad Samsuri bukan penjenayah dan beliau pemimpin yang terbukti bersih berdasarkan pelbagai laporan rasmi.

“Jangan biarkan institusi negara digunakan untuk mengaibkan lawan politik secara terang-terangan.

“Rakyat hari ini celik dan matang dalam menilai. Mereka tahu membezakan antara prosedur biasa dan tindakan yang bermotif politik.

“Yang paling penting, jangan biarkan institusi awam dijadikan alat untuk menjatuhkan maruah pemimpin hanya kerana perbezaan fahaman politik,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut katanya,  apa yang berlaku ke atas Ahmad Samsuri bukan disebabkan kejahilan terhadap peraturan, tetapi adalah manifestasi penguatkuasaan TCO secara selektif dan bersifat politik.

“Kita menghormati kuasa autonomi Sabah dan Sarawak, namun dalam masa yang sama, kita juga menuntut keadilan dan layanan yang saksama terhadap semua rakyat Malaysia, sama ada dari Semenanjung, Sabah mahupun Sarawak,” ujarnya.

Terdahulu Razali berkata,  beliau mengikuti dengan penuh rasa kecewa apabila gambar Menteri Besar Terengganu yang sedang ‘ditahan’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu menjadi tular.

“Gambar itu menggambarkan seolah-olah beliau seorang pesalah besar, dipinggir, diawasi, dan dipaksa menunggu seperti tiada maruah sebagai ketua kerajaan negeri.

“Apakah ini cara kita melayan seorang pemimpin negeri yang telah terbukti bersih, tidak pernah dikaitkan dengan sebarang salah guna kuasa, jenayah atau rasuah,” ujarnya.

Tambahnya lagi, beliau terbaca satu hantaran yang kononnya ‘menjelaskan’ mengapa Menteri Besar Terengganu diarahkan menunggu oleh pihak Imigresen KKIA. Kononnya ia adalah proses biasa disebabkan autonomi imigresen Sabah.

“Sebagai Exco Pelancongan Negeri, saya sendiri pernah ke Sabah dan Sarawak atas urusan rasmi dan pelancongan. Tidak pernah sekalipun saya diarahkan menunggu seperti mana yang berlaku kepada YAB Menteri Besar Terengganu.

“Untuk makluman, Dr. Sam bukan calang-calang individu. Beliau bukan sahaja pemimpin negeri yang berintegriti, malah merupakan seorang pakar aeroangkasa dengan PhD dari United Kingdom. Mustahil beliau tidak faham hal asas seperti kuasa imigresen Sabah dan Sarawak,” ujarnya.

Tegas Razali, isunya di sini bukan soal ‘tak faham prosedur’ atau ‘salah faham tentang autonom’, isu sebenar ialah kenapa hanya beliau sahaja yang dikenakan tindakan sebegitu? Kenapa VIP lain, termasuk yang sedang menghadapi kes mahkamah, tidak pula diberi layanan serupa?

“Kalau benar ini hanya SOP biasa, mengapa hanya Dr Sam yang diarahkan menunggu, disekat dan ditandai? Mengapa perkara ini berulang kepada beliau?

“Apakah sebegini murah nilai seorang Menteri Besar di mata sistem yang kononnya mengutamakan ‘keselamatan negara’,  tetapi jelas lebih menjurus kepada intimidasi politik?,” soal Razali.