Home Artikel Dewan Muslimat PAS Malaysia

Seindah Syawal : Kemeriahan Gempur Semua Wad di Hospital Kulim

401 views
SHARE

27 Mei 2019, Kulim: Pada 26 Mei 2019 bersamaan dengan 21 Ramadhan 1440H, Program Seindah Syawal telah diadakan di Hospital Kulim. Program ini merupakan sinergi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) ADUN Merbau Pulas serta Dewan Muslimat PAS Kawasan Padang Serai (DMPKPS) dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Kawasan Padang Serai (DPPKPS) dan Ameerah Padang Serai.

Dalam program Seindah Syawal ini, semua wad di Hospital Kulim telah dilawati serta menerima sumbangan berupa kurma dan kuih raya bagi pesakit-pesakit serta hamper kuih raya bagi para petugas kesihatan di setiap wad. Antara barangan edaran lain juga ialah kipas tangan (sempena Hari Jururawat), risalah lajnah penerangan DMPKPS “Tinta DMPKPS” serta duit raya untuk pesakit kanak-kanak di Wad Pediatrik. Objektif program ini adalah untuk menghargai jasa petugas-petugas kesihatan hospital serta untuk menceriakan pesakit-pesakit dalam suasana Aidilfitri yang akan berkunjung tiba.

ADUN Merbau Pulas, YB Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali yang juga sebagai wakil AJK DMPM menzahirkan rasa syukur dan gembira di atas kemeriahan sambutan program Seindah Syawal yang telah berjalan dengan lancar. Dalam ucapan beliau, “Terima kasih kepada pihak pengarah hospital yang senang berurusan dan insyaAllah program seperti ini akan berterusan dari semasa ke semasa serta kerjasama yang baik ini mudah-mudahan dapat membantu masyarakat di luar sana dan membina ukhuwah antara kita semua. Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada penyumbang yang membantu kami dan juga semua petugas yang memberi kerjasama yang baik dan juga dari kalangan Jabatan Amal serta semua yang ada di sini pada hari ini.”

Turut hadir memeriahkan program Seindah Syawal kelmarin ialah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah juga merangkap Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Padang Serai iaitu Ustaz Nasrun bin Othman yang juga turut serta dalam edaran barang sumbangan. Kira-kira 50 petugas yang hadir turut serta dalam program ini yang terdiri daripada AJK DMPKPS, AJK DPPKPS, Ameerah Padang Serai (muslimat muda PAS), Jabatan Amal Padang Serai dan wakil Guru-guru PASTI di Kawasan Padang Serai.