Home Berita PAS Kelantan

Segera berpindah ke PPS jika perlu – Ahli Parlimen Rantau Panjang

74
SHARE

RANTAU PANJANG, 27 Feb: Ahli Parlimen Rantau Panjang, YB Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff mengingatkan semua penduduk di kawasan yang mudah ditenggelami air supaya sentiasa berwaspada dan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan ekoran keadaan cuaca dan hujan lebat yang masih lagi berterusan.

Katanya, penduduk di kawasan terlibat perlu bersedia lebih awal dengan menyimpan barang penting dan peribadi di tempat tinggi dan selamat, selain segera berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang berdekatan dan bukan menunggu sehingga banjir melanda untuk berpindah.

“Nasihat saya terutamanya kepada semua penduduk, pastikan berpindah dengan segera kerana saya mendapat maklumat daripada pihak keselamatan terdapat beberapa keluarga yang enggan berpindah dan menunggu di saat akhir. Kerjasama anak-anak amat diperlukan agar menghubungi keluarga masing-masing bagi mengingatkan mereka agar terus berpindah ke tempat selamat jika suasana banjir ini berterusan,” katanya ketika meninjau keadaan beberapa kawasan yang terlibat dengan banjir.

Terdahulu, susulan hujan lebat yang berterusan sejak semalam telah menyebabkan air Sungai Golok meningkat dalam masa yang singkat sehingga mencecah kepada 10.71 meter melepasi paras bahaya sehingga pukul 3.00 petang hari ini menyebabkan laluan utama jalan Pasir Mas – Rantau Panjang telah dinaiki air.

“Saya yang juga dalam perjalanan ke kampung-kampung berhampiran turut bersama mereka yang terkandas di sini. Bagi mendapatkan butiran lanjut, saya telah berjumpa dengan pihak Bomba dan Polis yang sedang mengawal keadaan lalu lintas di sepanjang laluan ini. Pesan saya kepada para pemandu jalan raya, berhati-hati memandu ketika meredah arus banjir. Patuhi arahan pihak berkuasa dan jaga keselamatan diri”, katanya.