Home Berita PAS Pahang

Segala yang terbaik dan termampu telah diusahakan – Andansura

203
SHARE

Oleh HANI ZAHIRUN

KUANTAN : Dewan Negeri Pahang telah dibubar pada 14 Oktober lalu. Bermakna semua jawatan Ahli Dewan Negeri (ADN) ditamatkan secara automatik berkuatkuasa pada tarikh itu.

Menerusi laman sosialnya, Andansura Rabu yang telah berkhidmat selama dua penggal selaku Ahli Dewan Negeri Beserah, telah menulis beberapa perkara yang dilaluinya di sepanjang perkhidmatannya.

Melalui Facebook Page beliau yang kini meraih 8.2K pengikut, Andansura Rabu menulis; Segala yang terbaik dan termampu telah diusahakan. Tiba masa untuk dinilai.

Isu Kebajikan sentiasa menjadi keutamaan pasukan Pusat Khidmat DUN (PKD) Beserah bagi memastikan seramai mungkin anggota masyarakat atau rakyat yang kurang bernasib baik terbela dan sentiasa diberikan perhatian.

Dalam tempoh masa yang diberikan kesempatan untuk menguruskan ‘Dana Awam’ beliau dan PKD telah berusaha manfaatkan sepenuhnya untuk memenuhi keperluan dan kepentingan rakyat yang meliputi pelbagai komposisi dan institusi.

Isu-isu berkaitan kepentingan awam juga sentiasa cuba ditangani sebaik mungkin dengan menjadi penghubung dan pemudahcara kepada pelbagai pihak kerajaan dan pihak yang berkuasa.

Keharmonian dalam pentadbiran awam sentiasa dipelihara dengan menjaga hubungan baik di antara mana-mana institusi sama ada di peringkat kerajaan mahu pun di peringkat masyarakat. Semua telah dilakukan demi kepentingan awam.

Dalam tempoh dua tahun krisis pandemik Covid-19 yang melanda dunia benar-benar menguji semua orang termasuk pasukan PKD.

Segala usaha menyelaras dari segenap keupayaan dan kemampuan telah dilakukan dalam memberi perhatian kepada rakyat Beserah yang terkesan.

Seterusnya beliau memohon kemaafan di atas misi yang tidak dapat dilaksanakan  secara efektif seperti kemudahan jalanraya yang tidak dapat diusahakan penyelenggaraannya pada tahap yang memuaskan serta memenuhi tuntutan awam ekoran kekangan kewangan di pihak agensi kerajaan.

Tulisnya lagi, beberapa isu yang tertunggak yang belum dapat ditangani sepenuhnya atas pelbagai faktor dan keterbatasan yang tidak mampu dirungkaikan.

Seterusnya beliau menyatakan kesediaannya untuk terus menabur bakti kepada masyarakat setempat, sama ada sebagai seorang calon mewakili PAS atas nama PN atau pun tidak.

Organisasi PAS di kawasan Parlimen Indera Mahkota (PASKIM) dan rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN) benar-benar bersedia untuk berada di tengah-tengah masyarakat sebagai telinga yang  mendengar, mulut yang bersuara dan kaki tangan yg bertindak, tambahnya lagi.

Di akhir penulisannya mewakili PKD Beserah, beliau merakamkan rasa berterima kasih dan menghargai segala kerjasama daripada semua pihak yang terlibat sama ada kecil atau besar yang membantu dalam menangani kepentingan serta aduan pihak awam.

Tidak dilupakan ucapan penghargaan di atas segala penghormatan daripada pelbagai pihak dan lapisan masyarakat terhadap pasukan PKD sepanjang perkhidmatan mereka.

Harapannya semoga masyarakat Beserah bijak menilai perlaksanaan yang telah dijalankan bagi melunaskan tanggungjawab yang diamanah ke atas bahu beliau dalam tempoh berkenaan.

Andansura Rabu menyandang jawatan Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah selama dua penggal sejak tahun 2013-2018 (PRU Ke-14) sehingga 14 Oktober 2022 atas tiket Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Beliau juga menyandang jawatan di dalam parti politik sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang merangkap Yang Dipertua PAS Indera Mahkota dan terkini sebagai Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Indera Mahkota.