Home Berita PAS Terengganu

Sedia santuni dan jaga kebajikan mualaf di Terengganu

17
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri terus komited dalam memberi bimbingan keagamaan kepada mualaf dan seterusnya mempertingkat syiar Islam dan menjaga kebajikan sosioekonomi golongan berkenaan di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata pihaknya bersedia mengadakan pertemuan yang berimpak positif melalui pelbagai agensi kerajaan dengan kerjasama badan bukan kerajaan bagi menyantuni kebajikan golongan itu.

Menurutnya, Konvensyen Terengganu Sejahtera 2024 yang buat pertama kali diadakan itu menjadi platform dalam menyatukan golongan saudara baru  bagi melahirkan kesejahteraan melalui dialog dan perbincangan yang diadakan.

“Dalam konvensyen ini, kita  bawa satu mesej  iaitu Terengganu sebagai satu negeri maju, berkat dan sejahtera. Ini antara elemen untuk kita bawa kesejahteraan kepada rakyat dan perkara yang kita lihat adalah perkara kepelbagaian kaum dan kepelbagaian agama yang tidak boleh menjadi sebab rasa hilang kesejahteraan .

“Jadi apa yang kita buat hari ini adalah merupakan satu langkah untuk membuktikan bahawa agama, bangsa dan seumpamanya adalah merupakan satu kesenian yang kita terima dan dipupuk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis penutup Konvensyen Terengganu Sejahtera 2024 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) di sini hari ini.

Tambahnya, walaupun majoriti Islam di Terengganu lebih besar namun keharmonian terserlah sehingga kini tanpa adanya perbalahan kaum.

“Inilah yang kita terjemah dan perkasakan di Terengganu bagi  melahirkan negeri maju, berkat dan sejahtera kerana dalam Islam, kita tetap  raikan hak-hak mereka.

“Begitu juga dalam aspek bantuan , kita tidak melihat kepada warna kulit dan juga agama kerana kita tengok dari sudut sasaran yang wajar untuk menerima.

“Jadi bantuan untuk fakir miskin di kalangan muslim berlangsung dan untuk bukan Islam pun …kita akan bantu sebab itu tanggungjawab kita bagi membantu rakyat Terengganu,”ujarnya lagi.

Sementara itu, Penolong Pengarah Akademi  Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Wan Ahmad Zuki  Wan Ismail  berkata  konvesyen ini merupakan sentuhan awal  daripada pihaknya sebagaimana cetusan dari pihak kerajaan negeri sendiri dalam mendekati golongan mualaf.

“Kerajaan sentiasa menitik beratkan hubungan antara kaum jadi kita nak hilangkan jarak antara  muslim dengan bukan  muslim  di Terengganu supaya  masyarakat bukan Islam itu lebih mengenali saudara-saudara mereka yang  muslim.

“Dalam masa yang sama,  masyarakat Islam jangan ada  ketakutan  untuk mendekati saudara-saudara  bukan muslim termasuk golongan mualaf,”katanya.

Menurut Wan Ahmad Zuki, DUAT akan melaksanakan program-program seumpamanya pada akan datang pelbagai bentuk pengisian dan memperkasakan lagi dengan ruang lebih luas melalui sentuhan-sentuhan baru.