KUALA TERENGGANU – Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) menyeru mahkamah Syariah di negeri-negeri lain untuk mencontohi Terengganu dalam menyahut tindakan pelaksanaan hukuman sebat yang dilaksanakan agar perkara berkenaan dapat membuka mata masyarakat, mengarusperdanakan syariah dan menjunjung hukum syarak.
Timbaan Presiden PPMM, Muhammad Hariz Md Yusoff turut menyeru semua pihak supaya tidak mengelirukan masyarakat dengan mempolitikkan isu tersebut serta memahami konteks sebenar pelaksanaan hukuman sebatan syariah.
“Sistem perundangan syariah adalah sebahagian daripada sistem undang-undang negara yang sah, dan pelaksanaannya tidak boleh dilihat melalui perspektif sempit atau prejudis.
“Alhamdulillah, pelaksanaan sebatan syariah tersebut berjaya dilaksanakan dengan lancar meskipun wujud tentangan hebat oleh beberapa institusi dan individu. Hasil penyaksian kami terhadap hukuman sebatan tersebut, PPMM dengan tegas menolak tohmahan dan persepsi buruk yang menyatakan bahawa pelaksanaan hukuman sebatan syariah di Terengganu melanggar prinsip kemanusiaan dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan sendiri pelaksanaan hukuman enam sebatan kepada pesalah khalwat berulang, Mohd Affendi Awang, 42, di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, di sini.
Beliau bersama Setiausaha Agung PPMM, Danial Farhan Zainul Rijal turut menyertai sekitar 70 individu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwan dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Muhammad Khalil Abdul Hadi menyaksikan pelaksanaan hukuman itu yang berlangsung sekitar jam 2.30 petang.
Muhammad Hariz juga menambah, pelaksanaan hukuman sebatan secara terbuka di Terengganu adalah untuk mendidik masyarakat secara kolektif mengenai kepentingan mentaati perundangan Islam.
“Tindakan pelaksanaan ini juga memberi mesej jelas mengenai usaha mengekang perlakuan yang bercanggah dengan moral dan etika masyarakat Islam.
“Hukuman ini dilaksanakan tanpa melibatkan elemen penghinaan kepada pesalah, malah dengan penuh tertib dan pengawasan pihak berkuasa,” katanya.
Mohd Affendi menjadi individu pertama di Terengganu yang dihukum dengan enam kali sebatan di khalayak ramai setelah hukuman itu diputuskan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu pada 20 Nov lepas setelah lelaki itu mengaku salah atas kesalahan khalwat berulang mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.