KUALA TERENGGANU – Pelaksanaan hukuman sebat di khalayak tidak membangkitkan isu Islamofobia dalam kalangan masyarakat dan ia dijalankan menurut prinsip Islam.
Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Mohd Amran Mat Zain berkata, prosedur operasi standard (SOP) menetapkan bahawa kehadiran khalayak adalah sangat terhad dan ditentukan Mahkamah Syariah.
Katanya, hukuman sebatan di luar penjara itu adalah berdasarkan peruntukan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah dan enakmen negeri yang relevan, dan pelaksanaannya mematuhi garis panduan yang dibangunkan dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan seperti JKSM, Jabatan Penjara, Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa agama negeri.
“Kehadiran pihak lain (semasa hukuman) bergantung kepada budi bicara dan arahan mahkamah yang biasanya mengambil kira sensitiviti dan keperluan menjaga maruah serta keselamatan semua pihak.
“SOP hukuman terbabit tidak menyebut tentang kehadiran khalayak awam secara umum, lebih-lebih lagi dalam jumlah besar kerana menekankan aspek privasi, pengurusan tertib dan pematuhan kepada undang-undang serta etika,” katanya dalam satu kenyataan pada hari ini.
Jelas Mohd Amran, hukuman berkenaan juga bukan bertujuan menghukum secara kejam.
Sebaliknya kata beliau, ia untuk mendidik, mencegah dan menyedarkan masyarakat tentang kepentingan menjaga nilai-nilai agama.
“Hukuman dijalankan dengan mengambil kira prinsip kemanusiaan serta dilakukan dengan penuh etika.
“Pegawai perubatan akan memastikan keadaan kesihatan pesalah sebelum dan selepas pelaksanaan hukuman, malah alat sebatan direka khas untuk mengurangkan risiko kecederaan fizikal,” katanya.
“Saya juga percaya dengan hukuman sebatan syariah ini akan memberi maklumat dan pengetahuan kepada masyarakat bahawa ia berbeza dengan sebatan sivil,” jelasnya.
Semalam, tukang rumah, Mohd Affendi Awang, 42, menjadi individu pertama dihukum dengan enam sebatan di hadapan kira-kira 70 saksi di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu pada Jumaat.
Hukuman itu diputuskan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu pada 20 November lalu setelah lelaki terbabit mengaku salah atas kesalahan khalwat berulang mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.
Sebelum itu, dia pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku salah bagi pertuduhan khalwat di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kemaman pada 11 Julai 2023.