Home Berita PAS Terengganu

Sebar fakta, sekat fitnah di media sosial

107
SHARE

Oleh : Husaif Mamat

KUALA TERENGGANU, 21 Jun – Seluruh ahli PAS di pelbagai peringkat diseru untuk menyebarkan segala fakta berkaitan kejayaan dan kerja buat parti itu di ruangan media sosial.

Ketua Penerangan PAS Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, usaha itu adalah senjata paling ampuh untuk menjawab dan menyekat segala fitnah yang dilemparkan kepada PAS terutamanya membabitkan soal pentadbiran.

Katanya, tindakan tersebut juga bakal membuka mata semua anggota masyarakat bahawa PAS adalah parti yang mampu melaksanakan amanah dengan cemerlang apabila diberi peluang.

“Penguasaan media sosial dalam fasa sekarang sangat kritikal, lebih-lebih lagi kita berada dalam kerajaan Persekutuan dan mentadbir tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“Kita telah mencapai banyak inisiatif dan manifesto terutamanya dalam aspek kebajikan rakyat, sebagai contoh di Terengganu kita sudah melaksanakan 16 daripada 20 manifesto, ini patut kita hebahkan kepada masyarakat umum,” katanya ketika dihubungi selepas Konvensyen Penerangan Dan Media Baharu PAS Pusat kelmarin.

Mengulas lanjut, Wan Sukairi walau bagaimanpun berkata, kerja itu perlu dibuat secara berstrategi dan tidak semberono berdasarkan semangat melawan musuh semata-mata.

Jelasnya, itu merupakan perkara yang perlu disedari dan diperbaiki dari semasa ke semasa, kuasailah ilmu media sosial sebanyak mungkn supaya PAS berjaya menyampaikan kecemerlangan parti kepada rakyat.

“Terlalu banyak inisiatif yang telah dilakukan PAS, tetapi tidak sampai kepada golongan sasar, antara sebab selain kurang penyebaran daripada ahli PAS ialah sebaran tidak dibuat secara tersusun.

“Dalam erti kata lain, maklumat atau kejayaan kita hanya berlegar dalam kalangan ahli kita, kita tidak membuat sebaran kepada golongan atas pagar atau rakyat yang tidak berparti, sebab itu mereka anggap PAS tidak buat kerja.

“Jadi, sudah tiba masanya, kita lakukan penerangan secara tersusun dan bersasar agar sampai ke golongan tersebut, tambah lagi Pilihan Raya Umum ke-15 bakal menjelma,” tambah beliau.

Bercakap mengenai konvensyen terbabit, Wan Sukairi menegaskan, program seperti itu perlu dilaksanakan di peringkat negeri dan kawasan dengan lebih kerap.

“Ia penting supaya para petugas parti di peringkat bawah mendapat maklumat atau fakta berkait sebarang isu dengan lebih tepat sekali gus mampu menyebarkan kepada masyarakat secara tersusun,”