Home Berita PAS Pahang

Sebak anak dapat baju sekolah baru

1151
SHARE

KUANTAN – “Hati saya sebak tengok anak seronok dapat baju dan barang sekolah baru,” begitu luahan ibu tunggal, Fauziah Massatu, 39, seorang pembantu kedai runcit.

Dia terpaksa membesarkan enam anak selepas kematian suami sejak beberapa tahun lalu.

Fauziah yang tinggal di Taman Tas berkata, dengan pendapatan RM30 sehari tidak mencukupi untuk dia membeli pakaian sekolah tiga anaknya.

“Gaji harian yang saya dapat cukup makan harian kami sekeluarga. Hidup kami ni macam kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tapi yang penting saya pastikan makan anak-anak cukup.

“Alhamdulillah mereka makan tak cerewet, cukup apa yang mampu saya sediakan. Itupun mereka dah gembira,” katanya ketika ditemui di sebuah pasaraya di Taman Tas di sini, semalam.

Tiga anaknya menerima baucar membeli pakaian sekolah bernilai RM150 seorang daripada Pas Paya Besar.

Menurutnya, meskipun hidup dalam serba kekurangan, namun dia mengakui tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya untuk menghantar tiga anaknya itu ke sekolah.

“Saya nak anak-anak saya ubah masa depan keluarga,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Pas Kawasan Paya Besar, Mohd Tarmizi Yahaya turut bersama menjayakan program tersebut bersama penerima yang terpilih.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghubungi hotline Tabung Prihatin Rakyat (TPR) Paya Besar (016-2640448) dan menyalurkan sumbangan ke akaun TPR  Paya Besar 556226404572 Maybank.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang