Home Berita PAS Pusat

Sayyid Ali Al-Muktabar: Pembangun Daulah Nusantara

893
SHARE


MUJADID NUSANTARA
Siri 2⃣

Facebook: https://m.facebook.com/mohdfadlighani
Telegram: https://t.me/drmohdfadlig

SAYYID ALI AL-MUKTABAR: PEMBANGUN DAULAH NUSANTARA


ISLAM dikatakan telah tiba di Alam Melayu seawal-awalnya sekitar 627M / 5H iaitu dengan kedatangan utusan Rasulullah SAW, Sheikh Ruknuddin ke Aceh. Walau bagaimanapun, tidak ada maklumat terperinci tentang hal ini, namun seorang sarjana, T.W Arnold mengatakan telah terdapat penempatan orang Arab di Aceh pada abad ketujuh Masehi. Beberapa sarjana lain seperti Syed Alwi Hadad, W.P Groeneveldt, Syed Naquib al-Attas dan Hamka juga berpegang bahawa Islam telah tiba di Aceh seawal abad ketujuh Masehi. Kesan daripada perkembangan ini, maka berdirilah tiga daulah Islam terbesar di Aceh iaitu Perlak (840-1292M), Samudera Pasai (1267-1521M) dan Aceh Darussalam (1520-1903M). Di samping itu juga, muncul beberapa kerajaan Islam di Aceh seperti Isah, Bireuen, Samalanga, Meureudu, Lingga, Gayo, Tamiang, Lamuri, Pidie dan lain-lain. Kebangkitan daulah Islam di Alam Melayu dikatakan bermula dengan peng-Islaman Raja Perlak, Meurah Shahril Nuwi pada 790M, kemudian diikuti oleh berdirinya Kerajaan Islam Perlak pada 840M.

Penegakan Perlak sebagai kerajaan Islam yang pertama di Alam Melayu telah banyak diperkatakan orang, tetapi tidak banyak disebutkan siapakah sebenarnya yang bertanggungjawab membangunkan daulah ini. Perlak dahulunya adalah sebuah kawasan Hindu-Buddha, sebelum Putera Shahrian Salman dari Parsi mendirikan kerajaan, kemudian rajanya di-Islamkan oleh para pendakwah di kalangan Ahl al-Bait iaitu anak cucu Imam Jaafar as-Sadiq. Seorang cucu kepada Imam Jaafar as-Sadiq, Syed Ali al-Muktabar yang menyertai rombongan pendakwah di bawah Nakhoda Khalifah telah bergerak ke Perlak pada 173H / 789M. Ada riwayat mengatakan rombongan 100 orang pendakwah Arab, Parsi dan India ini tiba di Perlak pada 802M, walaupun Prof A Hasjmy mengatakan mereka tiba pada 173H. Ketibaan mereka telah diterima dengan penuh takzim oleh Raja Perlak, Meurah Shahril Nuwi kerana Daulah Islam ketika itu telah menjadi kuasa besar dunia, lalu di atas penghormatan itu, Raja Perlak telah menikahkan seorang daripada adinda baginda dengan anggota rombongan tersebut, Syed Ali al-Muktabar.

Syed Ali al-Muktabar: Ahli Bait Rasulullah SAW

Syed Ali al-Muktabar adalah cucu kepada Imam Syed Jaafar as-Sadiq (702-765M), sekali gus anak saudara kepada Imam Syed Musa al-Kazim (746-799M) dan Imam Syed Ismail (719-755M). Secara salasilahnya, Syed Ali adalah anak kepada Muhammad ad-Dibaj bin Jaafar as-Sadiq bin Muhammad al-Baqir bin Ali Zainal Abidin bin Hussain bin Ali bin Abi Talib bin Abdul Mutallib bin Hashim bin Abdul Manaf bin Qusai bin Kilab. Beliau berketurunan Rasulullah pada sebelah ibu Hussain, Fatimah az-Zahra binti Rasulullah SAW. Tiada catatan tentang tarikh lahir sebenar beliau, kerana beliau lahir dalam tempoh krisis politik pada zaman Khalifah al-Makmun (786-833M). Beliau dikatakan lahir selepas 764M di Basrah. Kerana pergolakan politik itu, keluarganya telah mengikuti bapa saudaranya, Imam Musa al-Kazim berhijrah ke Iraq dan tinggal di sana. Bapanya sendiri, Muhammad ad-Dibaj bin Jaafar as-Sadiq telah dibaiah oleh penyokong-penyokongnya dari Bani Alawiyah sebagai khalifah ketika usianya sudah lanjut dan digelar Amirul Mukminin oleh pengikutnya di Kufah.

Tidak banyak dicatatkan tentang kehidupan, pendidikan dan perkembangan hidup Syed Ali al-Muktabar kerana pergolakan yang sangat meruncing itu, ekoran gerakan politik golongan Syiah yang menggunakan nama Ahl al-Bait. Keluarganya terkenal kerana terdiri daripada ulamak-ulamak besar termasuk Imam Jaafar as-Sadiq dan Imam Musa al-Kazim yang dijadikan imam oleh pengikut Syiah, serta Imam Ismail, yang dijadikan imam oleh puak Syiah Ismailiyah. Keluarga mereka asalnya tinggal di Mekah ketika Daulah Umayyah dijatuhkan pada 750M, tetapi selepas zaman Imam Jaafar as-Sadiq keluarga mereka telah terlibat dalam pergolakan politik antara Bani Alawiyah dengan Bani Abbasiyah yang menjadi khalifah ketika itu. Atas sebab itu Imam Musa al-Kazim telah berpindah ke Baghdad, Muhammad ad-Dibaj berhijrah ke Kufah, bahkan Idris bin Abdullah, cicit Hassan bin Ali melarikan diri ke Maghribi pada 788M untuk menubuhkan Kerajaan Idrisiyah di sana selepas Perang Fakh pada 786M. Persaingan kedua-dua keluarga Bani Hashim ini telah memberikan kesan buruk kepada Bani Alawiyah dan membuka pula ruang kepada golongan Syiah untuk berkembang dalam politik.

Pergolakan politik dalam Daulah Abbasiyah dan gerakan dakwah

Perang Fakh (768M) berlaku di antara Sulaiman bin Abi Jaafar al-Mansor, panglima Abbasiyah dengan penyokong Bani Alawiyah pimpinan Hussain bin Ali (Sahib al-Fakh), cucu Hassan bin Ali bin Abi Talib. Seorang tokoh penting dalam konflik ini ialah Muhammad an-Nafs az-Zakaria (712-762M), cicit kepada al-Hassan bin Ali bin Abi Talib yang dibai’ah oleh pengikutnya sebagai khalifah selepas kejatuhan Daulah Umayyah pada 750M. Setelah itu, keluarga Bani Alawiyah terus menerima tekanan politik dan memaksa Imam Musa al-Kazim ditahan dan dipindahkan ke Baghdad oleh Khalifah al-Mahdi (775-785M). Muhammad ad-Dibaj pula dibai’ah sebagai khalifah oleh penduduk Hijaz setelah pembunuhan Abu as-Saraya, pemimpin Syiah yang berkuasa di Kufah. Waraqa bin Jamik yang diutuskan oleh Khalifah al-Makmun berjaya menundukkan Muhammad ad-Dibaj lalu diberi peluang untuk meninggalkan Mekah, lalu mereka berpindah ke Basrah. Ketika inilah Ali al-Muktabar dilahirkan di Basrah. Di kalangan sarjana Arab, nama beliau biasanya ditulis sebagai Ali al-Harisiy bin Muhammad ad-Dibaj.

Ali kemudiannya berhijrah ke Ahwaz setelah usianya mulai belia dan menjadi pengikut Imam Musa al-Kazim. Sekitar pertengahan abad kelapan Masehi itu juga, kerana tekanan berterusan terhadap Bani Alawiyah, seorang pemimpin mereka, Abdullah bin Muawiyah bin Abdullah bin Jaafar bin Abi Talib telah mengatur pengiriman rombongan pendakwah ke kawasan Hind (India dan timurnya). Tujuannya adalah untuk meluaskan dakwah Islam, sekali gus mengukuhkan pengaruh Bani Alawiyah setelah mereka tersingkir dari Hijaz. Abdullah bin Muawiyah asalnya adalah pemimpin pemberontak terhadap Daulah Umayyah bersama Abu Muslim al-Khurasani, tetapi setelah pembunuhan Abu Muslim pada zaman Khalifah al-Mansor, kedudukan Bani Alawiyah turut terjejas, lalu mereka merencanakan peng-Islaman Nusantara, kerana wilayah ini sudah lama mempunyai hubungan dagang dengan orang Quraisy. Satu rombongan pendakwah sekitar 100 orang dikirimkan ke Nusantara, dengan diketuai oleh Nakhoda Khalifah. Mereka bergerak dari Kufah ke Teluk Cambey di Gejerat. Ali al-Muktabar turut menyertai rombongan dakwah ini, bersama pendakwah Arab, Parsi dan India.

Perlak menjadi sasaran dakwah

Kitab Idhar al-Haq fi Mamlakat al-Farlah wa al-Fasi yang ditulis oleh Abu Ishak Makarani al-Fasi mengatakan bahawa mereka tiba di Perlak pada 173H / 789M. Mereka memilih Perlak kerana kawasan ini berdekatan dengan Barus, negeri yang telah lama berdagang dengan orang Quraisy dan berkebetulan rajanya, Shahril Nuwi adalah berketurunan Parsi. Menurut catatan sejarah, putera keturunan Raja Empayar Sasan (224-551M) dari Parsi bernama Raja Shahrian Salman telah mengahwini puteri Raja Juempa (Bireuen), Puteri Mayang Seludang sebelum menjadi raja di Perlak. Baginda mempunyai empat putera iaitu Shahril Nuwi (Raja Perlak), Shahril Danli (Raja Inderapurba), Shahril Panli (Raja Samaindera) dan Shahril Tanwi (Raja Juempa), serta seorang puteri, Tasyir Dewi. Kitab Tazkirah Thabaqat Jumu Sulthan as-Salathin karangan Shamsul Bahri Abdullah al-Asyi dan kitab Silsilah Raja-raja Perlak karya Sayyid Abdullah Habib Saifuddin turut mencatatkan kisah raja-raja awal Perlak dan keturunan mereka sebelum kedatangan Islam. Rombongan pendakwah ini kemudiannya menerima sambutan besar-besaran dari Raja Shahril Nuwi kerana menghormati orang Islam yang telah menguasai Parsi dan menjadi kuasa besar dunia ketika itu.

Sebagai penghormatan kepada rombongan pendakwah ini, Raja Shahril Nuwi telah mengahwinkan adiknya, Puteri Tasyir Dewi dengan Syed Ali al-Muktabar, cucu Imam Jaafar dari Bani Alawiyah yang dianggap mempunyai kedudukan yang setaraf dengan keturunan Raja Parsi. Kesan dari perkahwinan ini, mereka berhasil meng-Islamkan Raja Shahril Nuwi. Raja atau Meurah Shahril Nuwi adalah raja yang pertama memeluk Islam di Nusantara pada 790M, tetapi kerajaannya belum menjadi kerajaan Islam. Turut memeluk Islam ialah Raja Juempa, Shahril Tanwi. Dalam tempoh beberapa tahun itu, telah wujud penempatan dan komuniti Islam di Utara Sumatera atau Perlak, sehingga akhirnya Ali al-Muktabar dan Puteri Tasyir Dewi (atau disebut juga sebagai Puteri Makhdum Tansyuri) memperolehi seorang putera yang dinamakan sebagai Sayyid Abdul Aziz. Menurut Prof A. Hasjmy, Sayyid Abdul Aziz kemudiannya diangkat menjadi Raja Perlak pada akhir 839M bergelar Sultan Alaiddin Sayyid Maulana Abdul Aziz Shah dan baginda mengisytiharkan Perlak sebagai sebuah negara Islam pada 1 Muharram 225H (12 November 839M) dengan kota Perlak dinamakan sebagai Bandar Khalifah. Dengan pertabalan dan perisytiharan ini, maka berdirilah kerajaan Islam yang pertama di Nusantara.

Kepulangan dan kewafatan

Tidak banyak catatan tentang kegiatan dakwah yang dilakukan secara khusus oleh Ali al-Muktabar selepas kedatangan dan perkahwinannya dengan puteri Perlak itu. Tetapi, kejayaan meng-Islamkan Raja Shahril Nuwi dan Raja Shahril Tanwi sudah cukup untuk membuktikan kejayaan dakwah mereka. Kemudiannya, kerana keberkesanan dakwah ini, akhirnya dalam tempoh setengah abad dari kedatangan mereka, telah berdiri sebuah kerajaan Islam yang pertama di Nusantara iaitu Perlak. Di sebalik kejayaan mereka mengubah sistem politik Nusantara, tidak diketahui adakah Ali al-Muktabar terus tinggal di Perlak sehingga akhir hayat, atau pulang ke Ahwaz, Parsi. Tetapi menurut catatan kitab Umdat at-Talib fi Ansab Ali bin Abi Talib tulisan Ibnu Anbah yang dicatat Prof Azyumadi Azra, mengatakan bahawa Ali al-Muktabar atau Ali al-Harisiy telah wafat di Baghdad pada tarikh yang juga tidak dicatatkan. Berkemungkinan besar, Ali al-Muktabar telah kembali ke Parsi atau Kufah ketika sudah berusia tua untuk mengunjungi keluarganya, lalu meninggal dunia di Baghdad.

Mohd Fadli Ghani
Institut Al Balaghul Mubin
14 Zulhijjah 1440 / 15 Ogos 2019

? Pakat like & follow
? Ⓕⓐⓒⓔⓑⓞⓞⓚ
https://www.facebook.com/mohdfadlighani
?Ⓣⓔⓛⓔⓖⓡⓐⓜ
https://t.me/drmohdfadlighani