Home Berita PAS Perlis

Sayangi Malaysiaku, Pertahankan Kemerdekaannya

4564
SHARE

Oleh: Nur ‘Iffah

“Biladi Ya Biladi, negaraku tanah airku. Cinta setiaku untukmu.”

Sepotong lirik lagu Biladi dari Inteam Records yang membawa makna yang begitu mendalam kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya.

Tahun berganti tahun, bulan berganti bulan, hari berganti hari, tarikh 31 Ogos kini kembali lagi, bermakna genap 61 tahun negara kita beroleh kemerdekaan.

Namun, tahukah kita, sesungguhnya ungkapan merdeka itu bukan sekadar sebuah laungan biasa, bukan sekadar mengibarkan bendera dan bukan juga sekadar cuti peristiwa.

Penghayatan kemerdekaan tidak cukup dengan hanya melaung-laungkan kalimah merdeka. Ia merupakan penghayatan yang perlu hadir bersama pemahaman maksud serta kepentingan mempertahankan kemerdekaan yang dikecapi.
Mungkin ramai yang tidak mengenal erti kemerdekaan yang sebenar. Erti kemerdekaan bukan sahaja bebas daripada cengkaman penjajah semata-mata, malah kebebasan minda daripada terpengaruh dengan anasir-anasir luar yang mahu melihat berlakunya perpecahan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia.

Pepatah Melayu menyebut, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Sebagaimana firman Allah s.w.t di dalam Surah al-Hujurat ayat 10:

“Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.”

Justeru, dengan tema Sayangi Malaysiaku, hayatilah makna kemerdekaan sebenar dengan iman dan taqwa. Generasi muda seharusnya berusaha untuk mengekalkan kedaulatan dan kemerdekaan yang telah 61 tahun kita kecapi.

Kukuhkanlah institusi masyarakat menurut acuan Islam nescaya negara ini akan senantiasa terpelihara dan kemakmurannya akan terus menjadi milik kita.

Salam kemerdekaan yang ke 61 tahun Malaysia!