IPOH – “Saya tidur sejak naik bas dari Jerteh sebab takut mabuk. Bila sedar, bas dah berpusing nak terbalik. Saya tak sempat buat apa, muka saya jatuh dulu,” luah Nur Liyana Zanudin, pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terselamat dalam tragedi menyayat hati di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik.
Tragedi tersebut meragut 15 nyawa yang majoritinya duduk di bahagian kiri bas, lokasi tempat duduk Liyana.
Ujar Liyana, dia sedih apabila mendapat berita rakan-rakan meninggal dunia walaupun tidak mengenali mereka secara dekat.
“Saya duduk di kerusi ketiga, sebelah kiri, sebelah cermin. Memang kawasan itu yang paling teruk, saya betul-betul di tempat bas jatuh dan tersepit. Ramai yang meninggal dunia duduk di bahagian kiri,” katanya.
Dia berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas diziarahi Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Hospital Taiping semalam.
Jelasnya, selepas bas terbalik, dia masih sedar namun tak mampu berbuat apa-apa apatah lagi membantu kawan-kawan.
“Saya cuba kuatkan diri, cuba pusingkan badan, tapi tangan saya langsung tak rasa apa-apa. Saya tak boleh bergerak, apatah lagi keluar. Saya cuma mampu tunggu,” ujarnya.
Dia turut memaklumkan bahawa pihak bomba mengambil masa untuk menyelamatkannya kerana perlu menyelamatkan beberapa mangsa lain yang lebih kritikal terlebih dahulu.
Katanya, pihak bomba juga terpaksa memotong struktur bas yang remuk untuk membebaskan semua mangsa.
“Saya dengar orang luar bas cakap, siapa yang boleh berjalan, mereka cuba bantu dulu. Tapi saya memang tak boleh. Tersepit dan tak ada daya,” ceritanya.
Liyana turut memaklumkan bahawa selepas beberapa hari menerima rawatan, dia menunjukkan perkembangan positif namun masih dibayangi trauma.
“Alhamdulillah, hari ini saya rasa sedikit lebih baik. Terima kasih kepada semua yang doakan, bantu dan datang ziarah.
“Keluarga saya pun datang dari jauh, mereka semua jadi kekuatan untuk saya teruskan hidup, terima kasih warga Terengganu dan Malaysia,” kata anak keempat daripada lima beradik itu.