Home Berita PAS Terengganu

‘Saya dikawal seperti seorang penjenayah’ – MB Terengganu

51
SHARE

KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mendakwa beliau telah dilabel dan ditandai sebagai ‘TCO’ dalam sistem kawalan sempadan, oleh satu pihak cawangan khusus sejak pertengahan tahun 2024.

Katanya, cara tersebut membuatkan beliau seolah-olah seorang penjenayah berbahaya, dikaitkan dengan satu sindiket dan gangster, atau persona non grata di tanah air sendiri.

Ahmad Samsuri berkata beliau sangat kecewa dengan keadaan tersebut.

“Ia bukan sekadar label, tetapi saya ‘ditahan’ dan dibawa ke tepi, satu panggilan akan dibuat dan perlu mendapat persetujuan satu cawangan khusus sebelum dibenarkan keluar dari kawalan sempadan, untuk setiap kali keluar-masuk sempadan, walaupun sekadar ke Sabah dan Sarawak sejak suku ketiga tahun 2024.

“Ke mana saya pergi, siapa yang saya temui, dan apa yang saya perbualkan, semuanya menjadi perhatian pihak tertentu dan perlu dilaporkan oleh satu cawangan khusus kepada pihak political master atau operator utamanya.

“Inilah realiti harian yang saya hadapi. Dengan perkembangan teknologi canggih hari ini, mereka mungkin juga cuba mengetahui isi perbualan saya dengan individu tertentu, terutama pimpinan politik.

“Adakah telefon saya dipintas? Sudah tentu, 100 peratus,” katanya dalam satu kenyataan media hari ni.

Tambahnya, setiap pergerakan walaupun di atas urusan peribadi ia tetap dipantau oleh pihak tertentu.

“Bagaimana saya tahu semua ini? Sebenarnya, kita tidak perlu pun menjadi pintar untuk mengenal pastinya, dengan beberapa ujian dan umpanan mudah, perkara akan jelas seperti siang yang terang benderang.

“Kita tidak perlu mempunyai ilmu ‘counter-surveillance’ untuk mengenal pasti anasir yang memantau kita kerana kehadiran operatif dan elemen mereka adalah sangat ketara dan mudah dikenal pasti menerusi pemilihan kenderaan yang mereka gunakan, kereta yang statik, cara mereka berkomunikasi, pejalan kaki (spotter) dan sebagainya,” ujarnya lagi.

Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS berkata perkara tersebut berlaku adalah hanya untuk meredakan paranoia segelintir pihak, yang tanpa ada keperluan untuk merasakan tidak stabil dan terancam.

Tambahnya lagi, ada seorang lagi tokoh utama pembangkang yang juga berdepan dengan label tier TCO tersebut.

“Sudah tentu saya dan rakan berkenaan tidak akan berdiam diri.

“Penyalahgunaan sumber kerajaan sebagai senjata politik seperti ini satu trend yang merosakkan kebebasan peribadi dan merubah struktur negara yang sepatutnya bersifat adil,” ujarnya.

Jelas beliau, negara ini tidak akan maju jika suara yang berbeza terus dibungkam, dan kuasa digunakan untuk menakut-nakutkan rakyat.

“Hanya dengan keberanian untuk berubah dan keterbukaan menerima pandangan yang pelbagai, barulah kita dapat melangkah ke arah sebuah
Malaysia yang lebih adil, inklusif, dan benar-benar sejahtera untuk semua etnik, bangsa dan anutan agama yang ingin hidup dalam keamanan dan
Malaysia yang sejahtera,” katanya.

Dalam sistem keselamatan negara, ‘TCO’ merujuk kepada ‘Travel Control Office/Order’ oleh pihak berkuasa, satu bentuk penandaan terhadap individu yang dianggap berisiko oleh pihak tertentu, walaupun tanpa sebarang kesalahan dibuktikan secara sah.

Status ini membolehkan segala pergerakan, komunikasi, dan interaksi seseorang dipantau secara menyeluruh, senyap, dan berterusan atas nama ‘untuk keselamatan negara’ atau ‘untuk kestabilan politik’.