Home Berita PAS Terengganu

Sawah tenggelam, Pesawah ambil peluang memukat ikan

90
SHARE

MARANG – Beberapa hari lepas kebanyakan sawah di negeri Terengganu ditenggelami air akibat hujan lebat, namun di sebalik musibah itu ada pesawah mengambil peluang memukat ikan untuk dijadikan santapan keluarga.

Salah seorang petani di Pengkalan Berangan, Shahrul Azmi Othman berkata, biarpun masih sedih dengan ujian menimpanya, dia akur dan mencari peluang lain untuk kebaikan keluarga.

“Sawah padi tenggelam, itu takdir yang diluar jangka kita, saya redha dengan ketetapan itu, tapi disebalik kejadian bencana itu saya suka melakukan aktiviti desa seperti ini, mesti ambil peluang untuk memanfaatkannya.

“Walaupun demikian, saya tetap cuba memohon dan mengharapkan suntikan bantuan kepada kami, sekurang-kurangnya dapat pulangan modal kembali walaupun tiada keuntungan,” katanya kepada UPDI ketika ditemui di sawah miliknya kelmarin.

Shahrul Azmi Othman sedang memeriksa pukatnya.

Menurut Shahrul Azmi, hasil yang diperolehi daripada memukat di sawah Bukit Gading itu akan menjadi santapan keluarga dan dikongsi dengan jiran yang lain.

“Alhamdulillah, hasil yang dapat ini akan dimasak asam pedas kampung, dan dijadikan juadah keluarga, dan sekiranya ia berlebihan, insya-Allah akan dikongsi juga dengan kawan-kawan serta jiran-jiran yang lain bagi yang berhajat,” ujarnya.

Ikan Haruan antara hasil yang diperolehi.

Sementara itu, beberapa hari lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong menggesa pesawah yang terjejas membuat permohonan bantuan melalui Jabatan Pertanian Negeri.

“Akibat hujan yang turun dengan lebat semenjak beberapa hari yang lepas, ia mengakibatkan tanaman padi di kawasan Kampung Bukit Kulim, Bukit Gading, Kampung Tuman, Bukit Jejulong dan kawasan sekitarnya tumbang musnah.

“Alhamdulillah, kita turun untuk berjumpa dengan mangsa dan kita mencadangkan kepada mereka untuk menyegerakan laporan dan permohonan bagi memudahkan proses bantuan.

“Di peringkat Kerajaan Negeri telah mengumumkan bahawa Tabung Bencana Pertanian telahpun diaktifkan, jadi kami berharap ia dapat dilaksanakan dan sekurang-kurangnya meringankan sedikit beban mereka yang menjadi mangsa,” tambah beliau.