KUALA TERENGGANU – Semua agensi kerajaan, sektor swasta, dan rakyat di Terengganu diseru mengibarkan Jalur Gemilang di bangunan serta kediaman masing-masing sebagai usaha menyemarakkan semangat patriotisme melalui konsep “Satu Rumah Satu Jalur Gemilang”.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti Dan Pembangunan Luar Bandar, Hanafiah Mat berkata, langkah itu sebagai simbolik kepada rasa cinta, penghargaan terhadap tanah air dan tanda perpaduan serta kesatuan dalam meraikan kemerdekaan negara.
“Jadi mulai hari ini setiap jabatan, premis setiap rumah, kaya miskin, kota dan desa, setiap rakyat negeri Terengganu kita pastikan mengambil peranan menyemarakkan kibaran Jalur Gemilang paling tidak satu rumah satu Jalur Gemilang berkibar.
“Ini bukan soal isu kaum, parti, kedudukan atau pekerjaan. Ini soal maruah, soal harga diri apabila tiba bulan kebangsaan kibaran Jalur Gemilang meluas di seluruh negara, di pasang di setiap sudut lokasi jabatan kerajaan, sekolah,rumah-rumah ibadah dan premis kediaman,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman, di dewan Besar Wisma Darul Iman, pada hari ini.
Menurutnya, program pada hari ini dianjurkan khusus oleh kerajaan negeri dengan tujuan menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan kali ke-67 dan ianya merupakan acara tahunan diadakan bagi memperingati sejarah serta pencapaian negara sejak kemerdekaan.
“Merdeka ini hanya difahami mampu di mengerti dan dimaknai sekiranya menyingkap lembaran sejarah.
“Tidak ada negara yang merdeka secara semena-mena, ia memerlukan pengorbanan visi dan wawasan pemimpin-pemimpin terdahulu dengan keringat, darah dan air mata.
“Ia menuntut pengorbanan tentera polis yang pada masa itu dipanggil ‘homeguard’, pejuang-pejuang anti penjajah dan rakyat berjiwa patriotik,” ujarnya.
Tambahnya, jiwa merdeka menzahirkan kebebasan rakyat daripada sebarang elemen negatif dalam menginterpretasikan semangat patriotik.
“Ini dilakukan melalui aspek pemikiran integrasi sosial dan ekonomi, seterusnya membentuk kesatuan rakyat yang kukuh, harmoni, serta progresif,” kata Hanafiah.