Home Berita PAS Terengganu

Satu daripada empat rakyat sudah terima dos pertama

28
SHARE

Oleh : Nur ‘Afini Yahaya

PUTRAJAYA, 14 Julai – Satu per empat atau 25 peratus populasi negara sudah menerima suntikan vaksin sekurang-kurangnya satu dos, selepas jumlah pemberian vaksin melebihi 400,000 dos untuk hari kedua berturut-turut.

Menurut lampiran yang dikongsikan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), sebanyak 424,541 dos telah diberikan pada 13 Julai, menjadikan ia tertinggi setakat ini.

Daripada jumlah itu, 260,286 individu menerima dos pertama, manakala 164,255 lagi lengkap dos kedua.

Selangor terus catat perkembangan memberangsangkan apabila merekodkan jumlah pemberian suntikan tertinggi harian dengan 72,644 bagi dos pertama diikuti Kuala Lumpur dengan 47,244.

Dengan jumlah pemberian vaksin terbaharu itu, ia menjadikan jumlah keseluruhan dos pertama dan dos kedua adalah 12.21 juta.

Mengikut jumlah populasi, 25.6 peratus (8,364,354 individu) sudah melengkapkan dos pertama, manakala 11.8 peratus (3,848,376 individu) sudah melengkapkan kedua-dua dos.

Bagi jumlah populasi mengikut pemberian negeri, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersama Selangor mencatatkan 38 peratus manakala sarawak merekodkan 51 peratus bagi dos pertama.