Home Berita PAS Terengganu

SATU Atur Langkah pastikan Loji Air tidak terjejas ketika banjir

5
SHARE

KUALA TERENGGANU – Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) mengambil langkah proaktif bagi memastikan operasi 15 loji rawatan air (LRA) di negeri ini tidak terjejas ketika banjir.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), Ts Abdul Karim Endut berkata, sekiranya berlaku air pasang besar, hujan lebat dan ada pelepasan air daripada empangan ketika Monsun Timur Laut, berkemungkinan besar untuk berlaku banjir.

“Tapi kita kena buat pilihan, ketika air pasang besar kalau tidak ada pelepasan air daripada empangan, loji-loji kita akan terkesan kerana air masin telah sampai ke muka sauk.

“Daripada pengalaman lepas, pensampelan air masin akan diambil termasuk sudah sampai ke tahap mana dan sebagainya.

“Kita tentulah tidak boleh kawal hujan, tetapi boleh dapatkan maklumat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia bagi buat pengawasan yang lebih kerap untuk melihat tahap air masin tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Pembelian Terus bagi Tenaga Boleh Diperbaharui di antara SATU dan GSPARX Sdn Bhd di Primula Beach Hotel, baru-baru ini.

Mengulas lanjut katanya, SATU turut bekerjasama dengan TNB berhubung pelepasan air di empangan untuk imbangi faktor tersebut.

“Pelepasan air empangan memang perkara biasa, TNB akan lepaskan air empangan supaya kita masih ada bekalan air, air masin tidak sampai ke muka sauk dan pada masa yang sama dapat minimakan kesan risiko bencana banjir,” ujarnya.