Home Berita PAS Terengganu

Satelit penderiaan jauh angkasa bakal dilancar dua tahun lagi

131
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan dijangka melancarkan satelit penderiaan jauh angkasa  (remote sensing) milik negara dalam tempoh dua tahun lagi.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata pelaksanaan tersebut kini di peringkat permintaan cadangan (RFP) untuk dikeluarkan kepada pembida yang berminat pada Mei depan.

“RFP ni maksudnya kita dah lengkapkan segala maklumat dan spesifikasi yang diperlukan pada satelit berkenaan untuk dikemukakan kepada pembida.

“Seterusnya pihak pembida akan menghantar cadangan satelit masing-masing kepada kerajaan untuk dinilai mengikut tahap teknologi terbaik dalam ruang lingkup kos yang diperuntukkan,” katanya selepas meninjau Program Jualan Ayam Murah Parlimen Kuala Terengganu di Pasar Cabang Tiga di sini, pada Sabtu.

Menurutnya, pelancaran satelit baharu itu dilihat amat perlu memandangkan dua satelit sedia ada telah mencapai tarikh luput dan tidak boleh digunakan.

Ahmad Amzad berkata pada masa ini kerajaan terpaksa bergantung kepada satelit luar untuk mendapatkan data bagi kegunaan pelbagai agensi dan ia melibatkan perbelanjaan kewangan yang besar.

“(Remote sensing) ini adalah penyediaan data jarak jauh yang digunakan oleh banyak agensi dalam kerajaan.

“Sebaiknya untuk kerajaan memiliki satelit sendiri kerana ada sebahagian data remote sensing bersifat sensitif dan perlu dilindungi kerajaan,” katanya.

Katanya lagi, kewujudan satelit itu mungkin juga boleh dimanfaatkan untuk tujuan ramalan bencana seperti tanah runtuh yang kerap berlaku akhir-akhir ini – BERNAMA.