Home Berita PAS Terengganu

Sasar 500 individu bujang daftar Portal Jodoh

3
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 500 individu bujang untuk mendaftar dalam Portal Jodoh Darul Iman menjelang akhir tahun ini selepas ia dibuka secara rasmi kepada orang ramai semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, portal tersebut menjadi mercu tanda baharu dalam usaha kerajaan membantu golongan bujang, termasuk ibu atau bapa tunggal, mencari pasangan hidup secara selamat, terkawal dan patuh syariah.

“Bagi tahun ini, sasaran pendaftaran adalah sebanyak 500 individu pada peringkat awal sehingga hujung tahun. Penilaian semula akan dibuat kemudian bagi memperkemaskan portal sekiranya terdapat sebarang kelemahan memandangkan ia melalui proses pembangunan yang panjang.

“Proses pendaftaran melalui portal ini dilaksanakan dengan ketat, menggunakan nombor kad pengenalan dan nama sebenar bagi mengelakkan sebarang bentuk penipuan. Jika terdapat cubaan memalsukan identiti dan ia dapat dikesan, pendaftaran akan dibatalkan serta-merta,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Cari Jodoh Darul Iman di Damai Lounge, Tingkat U2, Wisma Darul Iman.

Menurutnya, portal ini dikendalikan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) yang turut bertanggungjawab membuat semakan dan pengesahan data peribadi bagi memastikan ia benar-benar sah dan bukan palsu.

“Platform ini khusus untuk rakyat Terengganu beragama Islam sahaja dan disediakan secara percuma. Jika selepas padanan pasangan memilih untuk bertemu secara persendirian, ia akan diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk menguruskan proses seterusnya, termasuk merisik, meminang hingga ke majlis perkahwinan.

“Inisiatif ini diwujudkan bagi membantu remaja atau individu bujang yang ingin berkahwin tetapi berasa malu atau sukar mencari pasangan yang sesuai. Dahulu, pencarian jodoh biasanya diatur oleh keluarga tanpa sebarang aplikasi atau platform dalam talian. Kini, kerajaan mengambil tanggungjawab membantu keluarga dalam usaha ini memandangkan ramai anak muda sibuk dengan kerjaya dan aktiviti lain hingga tidak sempat memikirkan soal jodoh,” katanya.

Justeru itu, beliau berharap pelancaran Portal Jodoh Darul Iman dapat menggalakkan perkahwinan yang sah dalam kalangan remaja dan anak muda, sekali gus membantu negeri dan negara melambatkan proses penuaan penduduk akibat lambat berkahwin dan lewat memperoleh zuriat.

“Program ini hanya untuk perkahwinan pertama dan telah melalui beberapa siri bengkel, sesi libat urus, pemurnian dan penambahbaikan dengan kerjasama YPK serta pihak industri teknologi, bagi memastikan ia mematuhi segala kriteria, peraturan, undang-undang dan syariah.

“Diharapkan portal ini menjadi satu platform berkesan dan mercu tanda penting bagi negeri Terengganu dalam membantu rakyat membina rumah tangga pada usia yang sesuai, seterusnya memberi manfaat kepada seluruh masyarakat,” tambah beliau lagi.