Home Artikel PAS Perlis

Santai Selebriti Temukan Dua Tokoh Berbeza Kepakaran

1,184 views
SHARE

Oleh : Muhammad Hadi

ARAU : Santai Selebriti, salah satu acara sempena Himpunan Anak Muda Istiqamah Perlis (HAMAS 4.0) menjadi medan diskusi antara dua orang tokoh yang memiliki kepakaran dalam bidang yang amat berbeza.

Bertempat di Balai Islam MADI, Arau, anak-anak muda telah berhimpun untuk melihat dua orang tokoh ternama di negara ini – selebriti dakwah Ustaz Fawwaz Md Jan dan personaliti bolasepak tanah air Saudara Radhi Mat Din – ‘beraksi’ di pentas diskusi.

Acara berbentuk forum itu, meskipun berlangsung dalam suasana santai, namun amat bermakna dan menghiburkan, dengan kedua-dua tokoh menjawab soalan-soalan yang dikemukakan dengan gaya masing-masing.

Ustaz Fawwaz Mad Jan dalam jawapannya kepada soalan yang dikemukakan kepadanya mengingatkan para hadirin akan peri pentingnya memelihara akhlak Islamiyyah dalam kehidupan.

Beliau turut memberikan panduan berkenaan kaedah-kaedah bersukan dalam Islam seperti memelihara solat, menjaga aurat dan adab ketika bersukan serta batas-batas pergaulan yang dibolehkan antara lelaki dan perempuan.

Berbeza pula dengan Saudara Radhi Mat Din yang mencuri perhatian hadirin menerusi perkongsian kisah dan pengalaman beliau sepanjang melibatkan diri dalam karier bola sepak serta bagaimana beliau boleh terlibat dengan PAS.

Lagenda bola sepak negeri Kedah itu turut mengingatkan audien yang hadir akan kepentingan memelihara solat meskipun dalam kesibukan bersukan, demi mendapat keberkatan daripada Allah Azza Wa Jalla.

Pada akhir sesi, kedua-dua panelis menyeru kepada seluruh anak muda supaya bangkit bersungguh-sungguh mempertahankan Islam di samping memelihara diri mereka daripada terlibat dengan perkara-perkara yang merosakkan generasi muda.